JOHANNESBURG – Sekurang-kurangnya lima orang maut dalam keganasan antipendatang yang berterusan di Johannesburg dan ibu kota Pretoria, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan pihak berkuasa pada Selasa.

Menteri Polis Bheki Cele yang mengesahkan perkara itu berkata empat orang maut di beberapa bahagian berbeza di Johannesburg manakala seorang lagi di Pretoria sejak keganasan meletus pada Ahad.

Presiden Cyril Ramaphosa yang mengutuk keganasan itu berkata kerajaannya tidak akan membiarkan insiden itu berterusan dengan perniagaan dimusnahkan menerusi perlakuan memecah masuk serta merompak dan membakar kedai rakyat asing kerana ia bercanggah dengan nilai-nilai yang didukung negara tersebut.

”Tiada justifikasi bahawa sesiapa yang tidak puas hati harus keluar dan menyerang orang yang berasal dari negara lain,” katanya sambil menambah bahawa rakyat Afrika Selatan yang menetap di negara lain juga boleh diserang.

Memecah masuk serta merompak kedai milik rakyat asing yang bermula pada Ahad telah berterusan selama tiga hari di Johannesburg di mana sekumpulan perusuh dilihat menggeledah premis terbabit sebelum membakarnya.

Polis menggunakan peluru getah dan bom tangan gegaran atau “stun grenade” di kawasan yang menyaksikan sekumpulan besar perusuh mencuri barangan dari beberapa kedai. Ramai pendatang di daerah perniagaan pusat itu dan kawasan perbandaran sekitarnya mengambil tindakan menutup kedai mereka.

Keganasan bermula pada Ahad di Jeppestown berhampiran Johannesburg di mana penduduk memecah masuk dan merompak kedai milik rakyat asing selepas sebuah daripada bangunan di kawasan itu terbakar.

Keganasan merebak ke bahagian lain di Johannesburg dan Pretoria menjelang Isnin dengan sekumpulan besar orang ramai memecah masuk kedai untuk mencuri semua barang termasuk keperluan harian dan peralatan elektronik.

Kadar pengangguran yang tinggi di Arika Selatan menyebabkan penduduk tempatan sering menuduh rakyat asing menutup peluang mereka untuk mendapatkan pekerjaan.

Penduduk tempatan mendakwa rakyat asing terbabit bersaing secara tidak adil dengan menjalankan perniagaan runcit dan mendesak agar mereka dihalang daripada mengendali perniagaan kecil.

Pemandu teksi yang berang telah memecah masuk dan merompak kedai milik rakyat asing di Pretoria sebelum membakarnya minggu lalu selepas seorang rakyat asing didakwa membunuh rakan mereka sehari sebelum itu.

Bulan lepas, perusuh di Afrika Selatan telah memecah masuk dan merompak beberapa kedai milik rakyat asing di pinggir Johannesburg selepas mendakwa mereka tidak menghormati undang-undang, kata polis ketika itu.

Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika Moussa Faki Mahamat mengutuk keganasan itu dan menggesa agar nyawa dan harta milik pendatang dilindungi.

“Pengerusi gembira dengan penahanan yang telah dilakukan pihak berkuasa Afrika Selatan,” menurut pejabat beliau dalam satu kenyataan.

Beliau berkata suruhanjaya itu komited menyokong kerajaan Afrika Selatan dalam menangani punca utama yang membawa kepada serangan dalam usaha mempromosi keamanan dan kestabilan dalam kerangka prinsip solidariti kebenuaan Kesatuan Afrika yang didukung sejak sekian lama.

— BERNAMA