Pemandangan kawasan perumahan yang terlibat dalam kebakaran di Sungai Lembing, Kuantan.

KUALA LUMPUR – Bangunan-bangunan warisan yang tidak memiliki ciri-ciri keselamatan kebakaran seperti di Sungai Lembing, Pahang perlu dipertingkatkan kerana premis-premis yang dibuat dengan kayu dalam bentuk bertingkat-tingkat berisiko untuk terbakar dengan cepat.

Langkah-langkah pencegahan seperti menyediakan hos luaran yang mencukupi pada jarak minimum dan sebarang sistem aktif yang lain boleh menghalang insiden yang tidak diingini berlaku pada bangunan warisan.

Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), Ar. Lillian Tay berkata, usaha meningkatkan keselamatan kebakaran dengan langkah-langkah pasif seperti memperbaiki penyelesaian luar kebakaran dan membahagikan dinding untuk menghalang api perlu dilakukan pada bangunan-bangunan lama.

Walau bagaimanapun, penambahan perlindungan keselamatan kebakaran di bangunan bersejarah juga perlu dilakukan dengan pertimbangan sewajarnya demi memelihara ciri-ciri asal dan keaslian bangunan-bangunan warisan ini yang memberi ciri kepada bandar-bandar bersejarah negara.

Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi pembangunan pelancongan diminta memberi keutamaan yang sama bagi membiayai dan memberi subsidi kepada pemilik-pemilik bangunan di Sungai Lembing untuk tujuan tersebut.

Pihak-pihak berkenaan juga perlu membantu pemilik swasta menaik taraf ciri keselamatan bangunan lama, selain menambah kosmetik dalam bentuk pencahayaan dekoratif dan jalan-jalan, untuk meningkatkan nilai estetika dan pelancongan.

Tay berkata, PAM juga menggesa pihak berkuasa yang relevan, arkitek, jurutera dan lain-lain memastikan peruntukan keselamatan kebakaran mencukupi bagi bangunan warisan dan bersejarah seperti di Sungai Lembing dan bandar-bandar lain di Malaysia.

“PAM juga menggalakkan pemilik dan komuniti dilatih dan diajar mengenai langkah-langkah keselamatan kebakaran yang akan diambil dalam keadaan kecemasan.

“Dengan kesedaran dan komitmen yang lebih tinggi untuk meningkatkan keselamatan hidup di bangunan lama di bandar warisan kita, PAM berharap tragedi tidak akan berlaku lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam kejadian 31 Ogos lalu, sebahagian besar pekan Sungai Lembing musnah selepas 20 rumah kedai, 11 buah rumah teres dan perpustakaan terbakar.

Premis-premis yang terlibat dalam kebakaran itu dianggarkan berusia 100 tahun.

Tragedi itu turut menyebabkan dua mangsa meninggal dunia. – MalaysiaGazette