KUALA LUMPUR – Penyanyi lagu irama Malaysia, Noraniza Idris kini menjadi pengasas program modal insan pembangunan budaya dan belia Malay World Cultural Paradise (MWCP) di Melaka.

Melalui platform itu, beliau berhasrat dapat berkhidmat kepada genarasi pelapis melalui program seni dan budaya.

“Dulu saya mahu menjadi guru tetapi hasrat itu terpaksa dilupakan kerana keluarga kurang berkemampuan akhirnya tercapai juga apabila keputusan saya untuk berkhidmat kepada masyarakat generasi pelapis,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Lebih teruja, Noraniza berkata, impiannya itu mendapat restu suami, Jeffri Hoodi.

Pemilihannya untuk ke Melaka kerana keunikan negeri itu dan kepesatan sektor pelancongannya yang begitu dekat dengan jiwanya dan Mini Malaysia dan ASEAN Cultural Park di Ayer Keroh Melaka menjadi lokasi pilihannya.

“Berlandaskan pengalaman jatuh bangun dalam kehidupan bermula dari Mini Malaysia dan ASEAN inilah, saya mula mengumpulkan nota-nota untuk dijadikan sebagai modul pendekatan untuk mendidik pelapis baru dari seawal usia enam tahun agar terus berpegang kepada dua perkara utama penting sebagai asas dalam kehidupan.

“Nilai-nilai murni yang diterap melalui kesenian warisan digabungkan dengan bimbingan rohani bertujuan untuk mengukuhkan kekuatan mental dan fizikal dalaman,” katanya.

Noraniza cuba mengadaptasi pemupukan jatidiri seiring dengan memupuk jatidiri yang tulin dan diadaptasikan dalam pembawakan yang seiring asas-asas tari, lakonan, nyanyian, muzik dan seni bela diri kepada pelajar yang terdiri dari pelatih berusia seawal enam tahun ke atas yang berada di bawah bimbingannya.

Sempena sambutan hari Kebangsaan Malaysia, Noraniza melancarkan kalendar pertama yang dinamakan Merdeka Fleastar bertema Nguri-Uri Budaya Jawi di Rumah Selangor Mini Malaysia & ASEAN Cultural Park Ayer Keroh.

Menghargai irama ini boleh divisualkan dalam pelbagai cara bukan sahaja dari cara nyanyiannya sahaja, konsep lagunya atau siapa yang menyanyikannya tetapi menerusi penggunaan elemen alat muziknya di dalam gubahan-gubahan lagu-lagu masakini sahaja sudah melambangkan semangat jatidiri dan identiti sebenar sebagai rakyat Malaysia yang sebenarnya merdeka dari segala aspek, katanya.

Setelah 18 bulan mempraktikkan modul pembelajaran dari hasil tulisan dan ilhamnya atas pengalamannya selama lebih 33 tahun atas jihad budaya usahanya mula diterima.

Bermula 1 Julai 2019 lalu, Noraniza membawa program modal insan ini ke Rumah Selangor, Mini Malaysia & ASEAN Cultural Park, Lebuh Ayer Keroh Melaka buat pertama kali telah menganjurkan sebuah program membangunkan seni dan budaya khususnya di Melaka.

Aktiviti utama pada setiap hujung minggu di MWCP adalah Asas tarian Tradisional Malaysia, asas lakonan teater, asas permainan muzik gamelan, asas seni silat dan teknik asas nyanyian lagu-lagu irama Malaysia.

“Aktiviti ini turut menghimpunkan sukarelawan terdiri dari bekas pelatih yang berkelayakan dan berpengalaman sebagai tenaga pengajar kepada pelatih-pelatih baharu yang mendaftar menerusi
promosi awal melalui media sosial,” katanya.

Bagi merealisasikan impian Noraniza untuk mewujudkan hab kebudayaan sebagai pusat hentian budaya yang berada di kedudukan strategik di pintu keluar masuk tol di Melaka.

Noraniza turut menekankan penampilan dari hujung rambut ke hujung kaki kepada pelatihnya dengan pakaian kebaya dan berkain batik sebagai elemen mempromosi Batik Malaysia selain masakan warisan pilihan Nasi Ambeng menjadi menu utama hidangan tengahari bagi pengunjung yang mendapatkan pakej pelancongan budaya MWCP.

Semua pelatih diwajibkan mengikuti sesi pembelajaran asas ini selama 32 jam untuk ke minggu penilaian oleh penilai yang diiktiraf sebelum beralih ke modul baru.

Program modal insan ini di bawah anjuran Persatuan Tatihseni Malaysia dan Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd dengan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai aktiviti pensijilan program kokurikulum lepasan waktu persekolahan selain turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia.

Program itu turut dibawakan bersama Azhar Scooter Motor.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast