Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berucap pada Majlis Pelancaran Halal Fiesta Malaysia (Halfest 2019) anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Pusat Pameran Mines (MIECC), Seri Kembangan, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 06 SEPTEMBER 2019.

SERDANG – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof menggesa lebih ramai syarikat bumiputera di negara ini memohon sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam (Jakim).

Beliau berkata, ketika ini data jabatan itu menunjukkan lebih 60 peratus pengeluar produk halal adalah syarikat multinasional yang dimiliki oleh orang bukan Islam.

Beliau menjelaskan sijil halal penting bagi syarikat Bumiputera untuk menjadi pemain utama dalam pasaran.

“Sijil halal boleh menjadikan syarikat Bumiputera berkembang bukan sahaja dalam negara malah menembusi pasaran dunia.

“Salah satu usaha kita untuk memastikan produk syarikat Bumiputera memiliki sijil halal sebagai penanda aras.

“Jadi jika mereka mahu pemain utama, kita amat alu-alukan mereka memiliki sijil halal dengan menyediakan program pengetahuan dan konsultan,” katanya.

Beiau berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian Halal Fiesta Malaysia (Halfest 2019) anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Pusat Pameran Mines (Miecc), Seri Kembangan di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mujahid menambah, sebagai Muslim, beliau melihat sijil halal sangat penting ketika berada di luar negara.

“Saya adalah Muslim dan bila saya ke luar negara, saya tanya halal atau tidak. Saya tidak tanya dia adalah Melayu atau Cina,” katanya. – MalaysiaGazette