Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad

KYOTO (Jepun) – Kerajaan sedang mencari jalan terbaik berhubung cadangan tiada lagi lantikan baharu dalam perkhidmatan awam di bawah skim tetap dan berpencen, bagi memastikan ia tidak merugikan penjawat awam, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata tiada sebarang keputusan dibuat berkenaan cadangan itu dan ia masih belum dibincangkan di peringkat Kabinet.

Beliau bagaimanapun menarik perhatian tentang hakikat bahawa bayaran pencen ketika ini sudah menjadi begitu besar.

“Sekarang ini kita (juga) bagi pencen kepada isteri dan anak (pesara kerajaan yang telah meninggal dunia). Ini semua menjadi beban kepada negara. Jadi kita (kerajaan) mungkin tak mampulah. Itu yang menjadi masalah,” katanya kepada pemberita ketika sidang media di akhir lawatan kerja beliau di sini hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Borhan Dolah dilaporkan berkata lantikan baharu dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat di bawah skim tetap dan berpencen sebaliknya digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambah baik bermula tahun depan.

Menurut Borhan, langkah itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa khas pembaharuan perkhidmatan awam pada Oktober 2018 yang mahukan perkhidmatan awam dikecilkan secara berfasa dan berdasarkan keperluan, selain mengurangkan bebanan pencen yang kini mencecah RM28 bilion.

Merujuk kepada angka RM28 bilion itu, Dr Mahathir menjangkakan nilai bebanan pencen itu akan terus meningkat.

“Kita nak cari jalan supaya kerajaan mampu (bayar dan pegawai (penjawat awam) tidak rugi,” katanya.

Mengenai penulisan di blog beliau mengenai orang Melayu malas bekerja, perdana menteri berkata penulisan berkenaan ditujukan kepada golongan yang malas.

“Yang sanggup bekerja ada, saya tidak kata kepada orang yang sanggup (bekerja keras),” katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir mahu rakyat Malaysia melihat kepada semangat bekerja orang Jepun yang sanggup melakukan semua pekerjaan dan tidak menggunakan tenaga kerja asing yang ramai sekaligus mengurangkan pengaliran keluar wang yang dihantar pulang pekerja asing.

“Di Jepun, mereka sendiri sapu jalan dan mereka jaga kebersihan negara mereka. Mereka tidak kerahkan tenaga kerja asing dan sebab itu mereka maju dan kaya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir menegaskan bahawa tiada permintaan ekstradisi penceramah bebas Dr Zakir Naik diutarakan oleh Perdana Menteri India Narendra Modi ketika pertemuan beliau dengan pemimpin negara Asia Selatan tersebut.

“Dia menyebut nama (Zakir) sahaja tapi tak ulas. Dia cakap sekali je tentang Zakir Naik,” katanya.

Sebaliknya, katanya tumpuan Modi sepanjang perjumpaan tersebut adalah untuk menerangkan berkenaan situasi di Jammu-Kashmir.

Perdana Menteri dan Modi mengadakan pertemuan dua hala ketika menghadiri Forum Ekonomi Timur (EEF) Ke-5 di Vladivostok, Rusia baru-baru ini.

Sebelum ini, media India melaporkan bahawa Modi meminta Dr Mahathir mengambil langkah untuk mengekstradisi pendakwah kelahiran India itu yang dikehendaki New Delhi atas dakwaan menghasut keganasan dan pengubahan wang haram.

Dr Mahathir menamatkan lawatan kerja tiga hari ke Kyoto hari ini.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast