Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mengkaji kontrak Pharmaniaga dalam menangani monopoli pembekalan perubatan yang menyumbang kepada peningkatan kos.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, monopoli bekalan perubatan memakan kos melebihi RM1.1 bilion setahun kepada kerajaan.

Menurutnya, kerajaan akan dapat berbelanja dengan lebih efisien dan membantu menangani kos sara hidup rakyat jika mampu meningkatkan persaingan dalam pasaran pembekalan perubatan.

Beliau turut menyeru Kementerian Kesihatan menjalankan reformasi pentadbiran supaya penjimatan wang atau perkhidmatan yang lebih efisien dapat dicapai tanpa perbelanjaan tambahan.

Ia selari dengan dasar baharu Kementerian Kewangan yang mana sebarang penjimatan wang ekoran daripada reformasi pentadbiran ini akan disalurkan balik supaya ia dapat dikecapi oleh kementerian terbabit.

Dengan insentif sedemikian ia akan menggalakkan lebih banyak usaha ke arah reformasi pentadbiran melalui kaedah kreatif dan inovatif dan bukan semata-mata memohon perbelanjaan tambahan sahaja, kata Guan Eng dalam ucapan aluan mesyuarat Kumpulan Fokus 2020 Pendekatan 3M terhadap kemudahan dan kelengkapan perubatan kerajaan.

Beliau memberitahu, antara 2010 dan 2018, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM193.6 bilion untuk penyediaan perkhidmatan kesihatan.

Pada Belanjawan 2019, Kementerian Kesihatan telah menerima peruntukan sebanyak RM28.7 bilion, iaitu kira-kira 9% daripada jumlah keseluruhan Belanjawan 2019 dan peruntukan itu adalah peningkatan sebanyak hampir 8% berbanding peruntukan yang diterima pada tahun 2018.

Perbelanjaan untuk Kementerian Kesihatan adalah sebahagian daripada perbelanjaan sosial yang mencecah RM107 bilion pada tahun 2019, atau kira-kira 34% daripada jumlah besar Belanjawan 2019 merentasi beberapa kementerian lain.

Katanya, pada tahun 2018, kerajaan mengelolakan sebanyak 2,881 klinik kesihatan dan komuniti, dan juga 14 hospital. Tambahan lagi, terdapat sejumlah 2.6 juta kemasukan ke dalam hospital kerajaan berbanding 1.1 juta untuk hospital swasta.

Jumlah ini mencerminkan kebergantungan rakyat Malaysia kepada perkhidmatan kesihatan awam. – MalaysiaGazette