Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mempertahankan keputusan kerajaan Barisan Nasional (BN) menaikkan gaji dan pencen penjawat awam yang kini didakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai beban besar kepada negara.

Beliau berkata, gaji penjawat awam di bawah pemerintahan perdana menteri keempat jauh lebih rendah berbanding sektor swasta.

Berikutan itu, jurang pendapatan antara yang kaya dengan miskin serta antara bandar dengan luar bandar adalah jauh lebih besar berbanding hari ini.

“Seperti apa yang (Tun) Daim Zainuddin kata bulan lepas apabila dia pertikaikan laporan PBB tentang kadar kemiskinan negara, rakyat sekarang lebih selesa berbanding dahulu.

“Dahulu, kita naik basikal, sekarang penuh dengan kereta,” kata Najib yang merujuk kenyataan Daim.

Jelas Najib, mereka yang pernah melalui era 80an dan 90an sudah tentu boleh membuat perbandingan – terutama keadaan di kampung dan mereka yang menjawat di kerajaan masa itu.

Oleh itu, kata Najib, kerajaan semasa di bawah pentadbirannya menaikkan gaji dan pencen penjawat awam, kalau pun masih tak setara dengan sektor swasta pun, janganlah jauh berbeza sangat.

Soalnya: “PM ke-7 kata nak Malaysia menjadi negara maju tapi negara maju yang manakah gaji penjawat awam mereka begitu rendah?”.

Malah, beliau menegaskan bahawa defisit kerajaan (iaitu beza antara perbelanjaan dengan pendapatan) turun setiap tahun untuk lapan tahun berturut-turut tetapi defisit meningkat semula dengan ketara di bawah PH.

Nisbah hutang negara kepada KDNK juga menurun sehingga menjadi 48.7% pada akhir suku pertama tahun 2018 – iaitu sebelum PRU14 dan nisbah ini melonjak naik setiap suku tahun selepas PRU14 dan dijangka cecah 53% pada akhir tahun.

“Jika beban sangat, kenapa pula kerajaan BN dahulu dapat mengurangkan defisit kerajaan dan nisbah hutang setiap tahun tetapi naik semula di bawah PH?

“Kenapa pula BN dapat menambah begitu banyak aset negara masa itu untuk PH menjual secara lambak?,” tanya Najib lagi.

Tambahnya, ketika perdana menteri ketujuh mendakwa bayaran pencen sudah meningkat menjadi RM28 bilion setahun dan menjadi beban besar buat kerajaan mengapa kerajaan PH sanggup memberi sifar cukai tahun lepas hingga menyebabkan puluhan bilion hasil cukai kerajaan telah hilang.

Najib berkata, kesan tindakan itu telah memberi manfaat besar kepada orang kaya.

“Mereka yang membeli Ferrari bernilai RM1 juta boleh jimat RM60,000 cukai GST (cukai barangan dan perkhidmatan).

“Syarikat yang membeli pejabat komersial bernilai RM5 juta dapat berjimat RM300,000 untuk GST,” katanya.

Malah, kerajaan PH juga sanggup menggantikan cukai GST dengan SST (cukai jualan dan perkhidmatan) dan menghilangkan hasil lebih dari RM22 bilion setiap tahun.

Kerajaan PH, dakwa Najib lagi sanggup memberi pengecualian  cukai, yang mana orang kaya mendapat manfaat tetapi merungut bayaran pencen meningkat menjadi RM28 bilion.

Sedangkan, pada tahun pertama GST dilaksanakan, kerajaan berjaya memungut RM27 bilion, meningkat kepada RM32.7 bilion pada tahun kedua dan pada tahun 2017 naik ke RM44 bilion walaupun kadar GST tidak pernah dinaikkan dan senarai barang dan perkhidmatan yang dikenakan GST juga tidak bertambah.

“Tetapi kenapa hasil GST naik setiap tahun pula? Kerana saiz ekonomi berkembang setiap tahun. Dengan itu, kutipan GST turut meningkat. Tetapi sistem ini telah dimansuhkan oleh kerajaan PH,” ujarnya.

Akibatnya, hasil cukai daripada ekonomi gelap yang sepatutnya mengalir ke kerajaan dan seterusnya diagihkan kepada penjawat awam dan rakyat pula terlepas. Yang untung adalah peniaga serta ekonomi gelap yang tidak bayar cukai.

Najib berkata, PH kini sudah menjadi kerajaan dan kalau tak cukup wang kena carilah.

“Tetapi apa yang mereka buat? Mereka mansuhkan GST dan membenarkan ekonomi gelap bermaharajalela.

“Mereka menjualkan aset-aset negara yang memberi keuntungan dan pendapatan setiap tahun.

“Sekarang PH ada hati pula nak mengadu serta menyalahkan pihak lain bahawa gaji dan pencen penjawat awam membebankan sehingga mereka perlu mengorbankan penjawat awam dengan rakyat,” kata Najib. – MalaysiaGazette