BANGKOK – ASEAN secara terkumpul merekodkan perdagangan dan pelaburan langsung asing (FDI) lebih tinggi tahun lepas meskipun wujud ketidaktentuan ekonomi global selain perang perdagangan berlanjutan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Dalam kenyataan bersama sempena Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-51, para menteri berkata ,berasaskan data awal, perdagangan barangan di rantau ini meningkat 8.7 peratus tahun ke tahun manakala perdagangan perkhidmatan berkembang 10.6 peratus.

“Jumlah nilai aliran masuk FDI ke rantau ini meningkat 5.3 peratus kepada US$154.7 bilion, dengan sektor perkhidmatan mencatatkan bahagian terbesar sebanyak 60.7 peratus,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat AEM dan mesyuarat berkaitan lain berlangsung dari 6 hingga 10 Sept di sini.

Semasa mesyuarat itu, para menteri bertukar pandangan mengenai perkembangan global dan serantau di samping meneliti semula pelaksanaan Pelan Induk Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025, termasuk kemajuan 13 keutamaan pelaksanaan ekonomi di bawah Thailand sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, serta hubungan ekonomi luaran ASEAN.

Malaysia diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lokman Hakim Ali, yang hadir bagi pihak menteri, Datuk Darell Leiking.

Acara lima hari itu juga termasuk mesyuarat Majlis Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN ke-33 dan Majlis Kawasan Pelaburan ASEAN ke-22.

Sementara itu, para menteri dengan sukacita mengatakan pertumbuhan secara keseluruhannya kekal stabil di seluruh ASEAN, dan pertumbuhan agregat kekal pada 5.2 peratus tahun lepas, sama seperti tahun sebelumnya.

“Pertumbuhan dijangka sederhana pada 4.8 peratus tahun ini dan 4.9 peratus pada 2020,” menurutnya.

Sementara itu, kenyataan bersama itu berkata intra-ASEAN terus mencatatkan bahagian tertinggi dalam perdagangan (23 peratus) dan dalam pelaburan (15.9 peratus).

Ia berkata China, Kesatuan Eropah (EU) dan AS adalah tiga rakan dagang luar negara utama pada tahun lepas manakala EU, Jepun dan China pula merupakan tiga sumber pelaburan luaran yang tertinggi.

“Di tengah-tengah ketidaktentuan disebabkan ketegangan perdagangan yang berterusan di antara kuasa ekonomi utama dan potensi limpahan serta kebimbangan mengenai kemampanan hutang, para menteri kekal teguh dengan komitmen mereka terhadap agenda penyepaduan ekonomi di rantau ini dan ke arah mencapai sasaran menggandakan perdagangan intra-ASEAN menjelang 2025.

“Ia akan disokong oleh sistem perdagangan antarabangsa yang terbuka, inklusif dan berasaskan peraturan, peningkatan daya tahan ekonomi selain kesediaan lebih baik bagi Revolusi Perindustrian Keempat,” katanya.

Mengenai pemudahan perdagangan, katanya, ASEAN sedang berusaha untuk mengurangkan kos transaksi perdagangan sebanyak 10 peratus tahun depan.

“Para menteri mengulangi pentingnya Petunjuk Pemudahan Perdagangan Lancar ASEAN dan proksinya untuk menentukan kemajuan dalam pengurangan kos transaksi perdagangan di samping memantau pelaksanaan langkah pemudahan perdagangan di rantau ini,” katanya.

Semasa mesyuarat AEM, Pelan Tindakan Rangka Kerja Penyepaduan Digital ASEAN (DIFAP) 2019-2025, rangka tindakan untuk membangunkan lagi ekonomi digital ASEAN, telah diterima pakai.

Pelan itu akan dikemukakan kepada Majlis AEC pada November ini untuk pengesahan, dan akan dikemaskini dua kali setahun.

Di samping itu, Perjanjian Perdagangan ASEAN bagi Perkhidmatan juga telah dimuktamadkan dan negara anggota dijangka menandatanganinya tahun ini. – MalaysiaGazette