Man Kidal (kiri).

KUALA LUMPUR – Selama empat dekad menceburkan diri dalam industri seni dengan bermain gitar, Man Kidal mengimpikan untuk mengadakan konsert solo di Istana Budaya.

Ujar Rahman Mahmood, 55, konsert itu menjadi dambaannya sebagai pemuzik selama berpuluh tahun.

Namun beliau mengakui ianya bukan mudah kerana memerlukan perbelanjaan yang besar.

“Saya sangat impikannya (konsert peribadi) namun ia bukan mudah kerana kos untuk melaksanakannya sangat tinggi tetapi saya percaya masanya akan tiba nanti.

“Saya sudah banyak kali melakukan persembahan di Istana Budaya jadi saya sudah tahu keadaan tempatnya seperti susunan pentas dan sebagainya.Lokasinya juga dapat memberikan keselesaan kepada penonton dan ini akan membolehkan mereka untuk lebih menghayati konsert saya nanti,” katanya.

Walaupun mengecap pelbagai kejayaan bersama kumpulan Lefthanded mahupun peribadi, beliau masih belum puas menghiburkan para peminatnya.

Man Kidal berharap akan dapat menampilkan barisan penyanyi hebat seperti Datuk Ramli Sarip, Datuk M. Nasir, Datuk Jamal Abdillah, Ella, Ruth Sahanaya, kumpulan D’ Masiv selain pemuzik antaranya Hillary Search, Joe Wings, Sham Kamikaze dan Rody Kristal sekiranya berjaya mengadakan konsert tersebut.

Sehubungan itu, beliau mengajak pihak yang berminat untuk duduk berbincang dan bekerjasama merealisasikan impiannya menjayakan konsert itu nanti. – BERNAMA