KUALA LUMPUR – Syafie Naswip menganggap putus tunang sebagai pengajaran kepadanya untuk lebih menumpukan perhatian kepada ibu dan bapa.

Menyifatkan dirinya kini sudah berada dalam fasa ‘move on’, pelakon muda ini mengakui apa yang berlaku adalah proses mematangkan dirinya.

“Kalau ditanya apa iktibar terhadap semua yang berlaku, pengajaran untuk saya adalah perlu lebihkan mak dan ayah dan akan mendahulukan mereka untuk setiap perkara selepas ini.

“Malah, sekarang ini pun saya tetap menjalani kehidupan seperti biasa dan sudah move on. Lagipun orang yang rapat atau kawan-kawan lebih mengenali diri saya yang sebenarnya,” katanya.

Mohammad Syafie Naswip, 27, mengikat tali pertunangan dengan Aishah Azman pada 7 April yang lalu dan hubungan itu tidak bertahan.

Beliau mendedahkan berita putus tunang itu pada 21 Julai.

Kontroversi melandanya berlarutan apabila Syafie ditahan polis untuk membantu siasatan berhubung dakwaan kes ugutan dan mengakibatkan kecederaan pada bekas tunangnya. -MalaysiaGazette