Annuar Musa.

KUALA LUMPUR – Tuduhan yang dibuat Khalid Samad yang mendakwa UMNO menipu tentang jumlah bunting Himpunan Penyatuan Ummah  (HPU14) menggambarkan karakter Menteri Wilayah Persekutuan itu.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan bahawa hanya 100 bunting sahaja dipasang namun tetap diturunkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Tweet kata pasang (bunting) 1,000, saya merasakan dia memberi gambaran atas karakter seorang yang bergelar menteri dan saya fikir beliau tidak seharusnya bertindak sedemikian, beliau menuduh seolah kita fitnah.

“Kita telah pohon hitam putih (surat rasmi) pasang 1,000 dan kita bayar RM2,000 seperti mana disyaratkan DBKL. Usahkan 1,000, pasang 300 pun tak sampai. Takut dia bilang (kira) macam mana tak tahulah,” katanya pada sidang media di Menara Datuk Onn hari ini.

Semalam Annuar dalam hantarannya di Twitter turut memaparkan surat kelulusan DBKL mengenai pemasangan banting di sekitar Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Lokasi tiang lampu yang dibenarkan ialah Jalan Putra, Jalan Tun Ismail, Jalan Tun Razak, Jalan Chow Kit, Jalan Loke Yew, Jalan TAR dan sekitar kawasan Masjid Negara.

Selain itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mohd Razlan Rafii menerusi akaun twitter berkata, DBKL merampas dan menurunkan bunting yang baharu dipasang oleh petugas parti itu.

Namun Khalidyang menyifatkan kenyataan Razlan tidak boleh dipercayai kerana surat permohonan hanya menyebut UMNO memohon untuk memasang 150 bunting sahaja. -MalaysiaGazette