Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Chiller Truck kepada Yayasan Food bank Malaysia dan Pengarah KPDNHEP Negeri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 12 SEPTEMBER 2019

PUTRAJAYA – Mengheret pemimpin tertinggi sebuah parti besar untuk melayan permintaan satu puak adalah budaya yang tidak sihat.

Demikian jawapan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tentang hasrat Zuraida Kamaruddin yang berdegil mahu bersemuka dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja.

Setiausaha Agung PKR itu menyifatkan ‘kedegilan’ Naib Presiden parti itu yang bertegas untuk bertemu Anwar di luar waktu mesyuarat  bukan caranya.

“Anwar adalah Presiden PKR dan dia adalah pemimpin untuk semua dan bukannya pemimpin untuk satu-satu faction (puak) untuk entertain permintaan berjumpa satu-satu faction.

“Itu tidak baik untuk mana mana organisasi dan Anwar mesti kekal pada kedudukannya dan mesti diterima sebagai presiden parti dan parti pula adalah terbesar dengan bilangan kerusi dalam kerajaan hari ini.

“Kalau pemimpin sebuah pertubuhan mula diheret supaya melayani satu-satu permintaan daripada satu-satu kelompok itu budaya sangat tidak sihat,” katanya.

Terdahulu Saifuddin yang juga Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menyerahkan sebanyak 14 unit trak pendingin bagi tujuan pelaksanaan logistik program penghantaran Food Bank Malaysia bagi melicinkan pengagihan makanan kepada golongan B40 termasuk senarai penerima di 20 univerisiti awam negara ini dalam satu majlis ringkas di lobi kementeriannya hari ini.

Dalam perkembangan kes Zuraida, tambah Saifuddin, isu itu tidak timbul lagi memandangkan beliau atas arahan Anwar telah menjawab dua surat terakhir kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu.

Menurut Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu lagi, beliau telah menjawab surat kedua dan ketiga kepada Zuraida seperti yang ‘dipandu’ oleh Anwar yang memberikan input dalam surat jawapan balas kepada Zuraida.

“Isi kandungan kedua-dua surat itu adalah sama seperti dalam surat pertama dan melakukan serahan tangan saya rasa kita terus kekal dengan pendirian terbaharu ini,” tegasnya lagi.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang semalam menyatakan pendirian beliau tidak mahu melayan jawapan pemimpin lain dalam PKR sebaliknya mahu bertemu Anwar di luar mesyuarat parti seperti yang dituntut menerusi tiga suratnya sebelum ini.

Beliau berkata, ini kerana Anwar sendiri sebelum ini telah menyatakan kesediaannya untu bertemu dengannya.

“Saya tunggu presiden panggil saya untuk berjumpa.Hari itu dia kata dia sedia berjumpa, jadi sudah tentu kita tunggu nak jumpa dialah,” tegas Zuraida.- MalaysiaGazette