Ir. Khairil Nizam

KUALA LUMPUR – Pengesahan pihak polis berhubung sindiket penjualan MyKad adalah ‘siren kecemasan negara’ yang menuntut tindakan segera kerajaan.

Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, pendedahan rentetan siasatan daripada aduan awal oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) itu membenarkan segala kecurigaan dan spekulasi selama ini.

“Khususnya dalam skop berkaitan keselamatan dan kedaulatan negara yang pernah dibongkar dan dipersoalkan selama ini, bermakna semuanya adalah benar belaka.

“Negara tidak memerlukan angkatan tentera dari luar untuk menyerang, tetapi musuh kini sudah berada di sekeliling kita. Paling menakutkan, mereka sukar dikenali kerana turut memiliki tanda pengenalan yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai beberapa pegawai kerajaan berpangkat tinggi ditahan dalam operasi khas pada minggu lalu bagi membantu siasatan berhubung kegiatan menjual MyKad kepada warga China di Pulau Pinang.

Akhbar itu melaporkan, polis turut menahan beberapa individu dalam satu operasi sulit kerana disyaki terbabit dalam penjualan MyKad berjumlah RM350,000 kepada warga asing.

Sumber dipetik akhbar itu berkata, sindiket terbabit terbongkar susulan laporan Jabatan Imigresen Pulau Pinang berhubung seorang wanita China berusia 25 hingga 30 tahun yang mahu membuat pasport Malaysia menggunakan MyKad sah.

Katanya, Jabatan Imigresen meragui status kerakyatan wanita itu yang berdepan masalah berkomunikasi dengan pegawai bertugas.

Menurut Khairil Nizam, Dewan Pemuda Pas Malaysia dan beberapa NGO menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja terhadap isu itu dan wajar disegerakan bagi memastikan tindakan dapat menangani masalah itu. “Kami juga kesal kerana sehingga ke saat ini kerajaan belum mengeluarkan sebarang pendirian apatah lagi arahan berkaitannya,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan beberapa kejadian seperti data Imigresen pernah hilang, jumlah kemasukan warga asing yang tinggi setiap hari ke Malaysia, sistem di KLIA mengalami gangguan terburuk dalam sejarah dan banyak lagi, menjadikan kebimbangan Pemuda Pas sebagai rakyat yang tidak boleh dipandang enteng.

“Dengan memiliki MyKad tidak sah juga bermakna banyak urusan negara boleh dicerobohi. Usaha penyusupan musuh menjadi semakin mudah dan negara akan pada bila-bila masa dapat ditawan tanpa peperangan.

“Apatah lagi pihak yang menggunakan kesempatan demikian untuk mengaut pelbagai kelebihan yang ada dalam negara, menjadikan rakyat sendiri kehilangan banyak peluang dan hak,” katanya.

Oleh itu, tegasnya, hukuman berat wajib dikenakan terhadap mereka yang terlibat. – MalaysiaGazette