Hazwan Mohamad
Hazwan Mohamad

KUALA LUMPUR – Parti Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa) menyambut baik langkah ‘taawun siyasi’ antara Pas dan UMNO dalam usaha membebaskan negara daripada cengkaman pemerintahan kakistokrasi.

Ketua Penerangannya, Hazwan Mohamad berkata, Berjasa sememangnya telah lama menyeru agar penyatuan terhadap kedua-dua parti keramat orang Melayu Islam itu dilakukan.

Katanya, beliau teringat antara sebab Berjasa menyertai Pilihan Raya Umum (PRU13) dahulu adalah disebabkan situasi perpecahan kedua-dua buah parti tersebut (UMNO di blok Barisan Nasional, Pas bersama blok Pakatan Rakyat), yang mana Berjasa merasakan ianya bakal memberi kesan buruk kepada nasib agama, bangsa dan negara yang kini sudah terbukti berlaku.

“Berbaki beberapa jam sahaja lagi untuk kita semua menyaksikan sebuah detik bersejarah yang dinanti-nantikan sejak puluhan tahun lamanya.

“Sabtu ini (esok), 14 Muharram 1441 Hijrah bakal menjadi saksi di bumi yang diamanahkan ini akan sebuah penyatuan dua parti Melayu Islam terbesar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Hazwan lagi, ketika PRU13 Berjasa tampil dengan mesej ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’ dan ‘Undilah Calon Muslim Wibawa’ sebagai satu alternatif kepada orang Melayu Islam dan juga menghantar isyarat agar kedua-dua parti Melayu Islam itu berdamai, bersatu dan bersepakat demi kemaslahatan ummah.

Namun katanya, hanya selepas hampir tujuh tahun, Berjasa bersyukur, kerana akhirnya, mesej ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’ kini diterima.

“Berjasa menyeru kepada seluruh umat Islam di Malaysia bersama-sama dalam kesepakatan yang bakal menjadi detik paling bersejarah untuk negara ini.

“Bahkan turut menyeru semua rakan-rakan Cina, India, Kadazan, Iban, Murut dan lain-lain untuk turut bersama.

“Kita percaya, sekiranya dominasi kuasa politik negara ini kembali kepada orang Melayu Islam maka, semakin teguh dan kukuhnya identiti budaya negara dan terjaminnya kestabilan politik yang akhirnya bakal memacu kemampanan ekonomi yang lebih gemilang,” ujarnya. – MalaysiaGazette