Daim Zainuddin
Daim Zainuddin

KUALA LUMPUR – Malaysia, sebagai penyumbang utama kepada perdagangan dunia dan berkembang sebagai rakan perdagangan dengan banyak negara, perlu meningkatkan tahap penyertaannya dalam perkapalan untuk membantu mengurangkan aliran keluar kadar pengangkutan laut negara, bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin.

Daim yang pernah berkhidmat sebagai menteri kewangan dari tahun 1984 hingga 1991 berkata, walaupun jumlah nilai perdagangan Malaysia meningkat 58 peratus dari 2008 hingga 2018, saiz jumlah kapal milik Malaysia dan perkongsian Malaysia di pasaran perkapalan antarabangsa, bagaimanapun, semakin berkurangan.

“Lihat sahaja kepada dagangan kontena, di sebalik pertumbuhan pesat di kebanyakan pelabuhan kontena China sepanjang dekad lepas, Pelabuhan Klang dan Tanjung Pelepas kekal dalam senarai 20 pelabuhan kontena dunia teratas dari segi pengendalian kontena unit bersamaan 20 kaki (TEU).

“Namun, gabungan pengendalian kontena (di Malaysia) pada tahun 2017 masih pada kadar 60 peratus kepentingan dalam pengendalian kontena Singapura pada tahun 2017,” katanya dalam ucaptama bertajuk “Industri Maritim Malaysia-Apa yang ada pada Masa Depan” pada Syarahan Presiden Ikhtisas Kelautan Malaysia (IKMAL) 2019, di sini, hari ini.

Oleh itu, beliau berkata, Malaysia memerlukan pendekatan nasional yang lebih bersepadu melibatkan perundingan rapat antara syarikat perkapalan swasta, syarikat berkaitan kerajaan, pengeksport dan pengimport, serta kerjasama rapat antara mereka untuk lebih stabil dalam penyediaan perkhidmatan perkapalan dalam jangka masa panjang .

Sementara itu, Daim berkata negara juga perlu mempunyai kawalan dan keselamatan lebih baik dalam perkhidmatan perkapalan bagi eksport dan import pentingnya.

Sebagai contoh, katanya, eksport minyak sawit dari Malaysia, di mana jumlah itu dijangka mencapai kira-kira 20 juta tan pada tahun 2019, dilihat sebagai eksport kargo strategik yang akan terus memerlukan perkhidmatan perkapalan selama bertahun-tahun pada masa akan datang.

“Bagaimanapun, pengangkutan minyak sawit sebahagian besarnya diserahkan kepada pemilik kapal asing dan broker kapal,” katanya.

Mengenai import arang batu, Daim menyatakan bahawa kira-kira 15 peratus daripada import arang batu Malaysia adalah untuk Tenaga Nasional Bhd yang diangkut menggunakan kapal milik Malaysia, berikutan pemberian kontrak penyewaan pada 2016.

“Tetapi lebih daripada 80 peratus import arang batu kita masih diangkut menggunakan kapal milik asing walaupun arang batu adalah kargo strategik yang penting untuk penjanaan kuasa kita.

“Perkara yang perlu diambil perhatian juga ialah campuran semasa kapal Malaysia yang tidak sejajar dengan trend dan kadar pertumbuhan dalam perdagangan dunia,” katanya.

Menyentuh mengenai penyertaan kapal Malaysia dalam segmen perkapalan yang berkembang pantas iaitu perniagaan perkapalan kontena, Daim berkata penyertaan dalam segmen itu juga kekal rendah.

“Syarikat perkapalan nasional kita (MISC Bhd) yang keluar daripada perniagaan perkapalan pada 2011, atas sebab komersial, malangnya telah kehilangan banyak pakar dan sumber yang kita telah bangunkan bagi menyertai operasi perkapalan antarabangsa secara langsung.

“Kita akan melihat diri kita menurun bagi tahap keterlibatan dalam dunia perkapalan tanpa membina semula kehadiran kita di segmen tersebut, walaupun diketahui bahawa ia sangat mencabar dan berintensifkan modal dan perlu bekerjasama dalam satu konsortium dengan pengendali kapal lain,” katanya.

Untuk prospek masa depan, Daim berkata ketegangan geopolitik dan perang perdagangan yang sedang berlaku, iaitu pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, perkembangan Brexit di United Kingdom yang tidak menentu, serta perubahan pola permintaan bekalan tenaga, termasuk dasar dan peraturan mengenai campuran bahan api dan tenaga untuk menangani isu-isu alam sekitar, tidak dapat dielakkan akan mempengaruhi perdagangan dunia dan perkapalan.

‘’Oleh itu, bagi memastikan kita dapat memacu pertumbuhan dalam industri maritim kita dan mengukuhkan tahap penyertaan kita dalam perdagangan antarabangsa, Malaysia perlu mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara lain, terutama komuniti sempadan,” katanya.

— BERNAMA