KUALA LUMUR – Naib Presiden PKR yang dilantik, Rafizi Ramli hari ni memuatnaik hantaran di laman Facebook mengulas panjang lebar tentang ketegangan hubungan Pas dan UMNO sejak tahun 1970an.
Kata Rafizi, hubungan marah dan cinta antara kedua-dua parti itu sudah lama sehingga ke satu peringkat UMNO sudah lagi tidak Islam menyebabkan berlakunya ‘boikot’ kenduri kahwin, sembahyang asing dan akad nikah dua kali kerana takut tidak sah dan membawa kepada zina.
Beliau merumuskan keadaan itu sebagai jasa Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada perpaduan ummah selepas menjatuhkan hukum melalui Amanat Haji Hadi.
“Saya orang Terengganu, dalam tahun 1980an keluarga terbelah antara yang UMNO dan PAS gara-gara Amanat itu,” katanya.
Rafizi menyambung, apa yang beliau ungkapkan di peringkat awal hantaran panjang lebar itu adalah cerita dulu dan sekarang kedua-dua parti itu sudah selesai meminang dan akan berkahwin esok di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
“Kita tidak tahu yang mana lelaki yang mana perempuan.
“PAS beritahu ahlinya yang dalam perkahwinan itu, PAS adalah lelaki yang memimpin. Kalau PAS ucap saja, jatuh talak tiga jadi UMNO tidak boleh main-main.
“UMNO beritahu ahlinya PAS adalah jandanya yang sekarang gila talak dengan UMNO setelah berpuluh tahun memaki hamun UMNO. UMNO bukan cinta sangat kepada PAS, cukup untuk dipakai sahaja.
“In Sha Allah tok kadi kena semak jantina UMNO dan PAS dulu sebelum menikahkah mereka esok,” katanya.
Rafizi turut menyelar Abdul Hadi kononnya sebagai orang yang telah mendidik anak muda Pas untuk menjatuhkan hukum keluar Islam ke atas UMNO selepas kedua-dua parti itu ‘bercerai’ pada awal 1980an.
Hari ini, katanya, Pas mendidik anak-anak muda parti itu untuk menjatuhkan hukum keluar Islam ke atas orang Islam yang tidak bersama mereka dalam perkahwinan itu.
“Lihat anak muda bernama Shah Al Badar ini. Sangat tegar menyokong PAS, satu pertubuhan dakwah kononnya,” katanya.
Rafizi mendakwa, dakwah Pas itu sudah terpesong dan bukan lagi dakwah mendekatkan manusia ke jalan Allah, bukan lagi dakwah yang berhikmah dan bijaksana, apatah lagi dakwah yang berteraskan akhlak.
“Dakwah anak muda PAS sekarang ialah berdakwah supaya orang Islam meninggalkan agama, apabila orang Islam itu tidak bersetuju dengan tindakan politik mereka.
“Semuanya demi sekerat dua kerat pimpinan atas PAS dan nafsu mereka untuk menjadi pembesar negara,” katanya.
Beliau turut meramalkan perkahwinan UMNO-Pas kali ini juga akan terburai.
“Hanya tunggu masa kerana mereka tidak tahu siapa yang suami dan siapa yang isteri dalam perkahwinan itu.
“Apabila strategi politik itu tidak menjadi dan mereka berbalah, mereka akan kembali kafir mengkafir seperti dulu.
M”ereka juga yang menjerit penyatuan ummah, sedangkan merekalah yang kafir mengkafir sebelum ini dan memecah belahkan ummah,” katanya. – MalaysiaGazette
Artikel berkaitan
Mereka yang ungkit kisah lama UMNO-Pas seperti gila talak – Hadi Awang