KUALA LUMPUR – Kerajaan bersedia menerima cadangan dan idea daripada pemain utama sektor perniagaan pengedaran di negara ini terutama yang membawa kepada peubahan dasar dan inisiatif, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, ini bagi membantu menyesuaikan perubahan terhadap trend dalam peruncitan dan kepenggunaan semasa terutamanya dengan perkembangan pantas e-dagang serta konsep stor terkini yang berubah daripada ciri tradisional dan konvensional.

Dr Wan Azizah memberi contoh IKEA telah merasmikan stor kecil pertama bersaiz 1,600 meter persegi di New York baru-baru ini dan bercadang untuk membuka 30 lagi stor kecil di kawasan bandar, Carrefour SA Perancis pula telah mengurangkan keluasan stor dan kos operasi bagi mengadaptasi trend e-dagang.

“Beberapa cadangan berkenaan pembaharuan yang telah dicadang daripada pemain industri termasuk menyemak semula format pusat pengedaran, keluasan lantai niaga dan waktu operasi perniagaan,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam sempena Ulang Tahun AEON ke-35 di sini malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan pasar raya asing telah menjana sebanyak 26,829 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan menyumbang sejumlah RM110,297,707.44 dari segi kutipan cukai negara pada 2018.

Malahan, sehingga suku pertama tahun ini, sektor perkhidmatan telah menyumbang 57 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar di mana sub sektor borong dan runcit merupakan penyumbang pertumbuhan utama dengan mencatatkan nilai jualan sebanyak RM 321.8 bilion serta mengupah lebih kurang 1.8 juta tenaga kerja secara keseluruhan.

Dr Wan Azizah turut berharap agar kumpulan AEON, dengan rangkaiannya dapat memainkan peranan penting dan efektif dalam usaha menstabilkan harga barangan, khususnya barangan keperluan harian bagi kebaikan dan kesejahteraan keseluruhan rakyat.

Beliau turut memuji langkah AEON dalam usaha memulihara alam sekitar menerusi program penanaman pokok yang telah dimulakan sejak 2014, di mana sehingga kini sebanyak 18,000 batang pokok telah ditanam daripada sejumlah 30,000 yang disasarkan.

Langkah itu dilihat mampu menyumbang kepada pengembalian biodiversiti termasuk di kawasan bekas tapak lombong di Malaysia dan seterusnya menarik lebih ramai pelancong ke tempat ini.

Timbalan perdana menteri berkata ini kerana usaha untuk menjadi sebuah negara maju tidak akan tercapai atau diiktiraf jika pusat membeli belah berkembang dengan gah sedangkan sungai dan udara sedang tercemar serta hutan belantara menjadi tandus.

“Mesej ini jelas di waktu kita berusaha untuk membangunkan negara, kita tidak boleh lupa betapa pentingnya untuk kita mengekal dan memelihara alam semula jadi dan persekitaran kita.

“Kita telah melihat kesan akibat dari pembangunan yang tidak teratur dan yang hanya menekankan faktor keuntungan semata-mata,” katanya.

AEON merupakan peneraju Kedai Barang Dagangan (GMS) merangkap pasar raya di Malaysia dengan memiliki 28 pusat membeli belah AEON, 34 stor cawangan AEON, satu MaxValue dan lima pasar raya utama MaxValu Prime di seluruh negara.

— BERNAMA