ALOR SETAR – Seorang lelaki berusia lingkungan 20-an melecur ketika cuba menghanyutkan dua bot nelayan yang terlibat dalam kebakaran ke tengah sungai di Jeti Semeling dekat Sungai Petani awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya mendapat panggilan tentang kejadian itu pada 1.43 pagi dan tiba di lokasi tujuh minit kemudian.

“Lelaki ini telah tercedera pada bahagian tangan dan mukanya melecur semasa membuka tali bot yang ditambat berdekatan Jeti Semeling untuk menghanyutkan bot tersebut ke tengah sungai agar kebakaran tidak merebak ke bot lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, bot pertama musnah 80 peratus manakala bot kedua rosak 60 peratus akibat kebakaran berkenaan.

Beliau berkata, lelaki itu dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, 15 anggota termasuk pegawai terlibat dalam operasi pemadaman api itu. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast