Gambar lelaki yang memanjat pencawang elektrik berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Kampung Ladang Fermanagh, Sungai Pelek untuk bunuh diri.

KUALA LUMPUR – Anggota bomba mengambil masa hampir satu jam memujuk dan menyelamatkan seorang lelaki yang cuba terjun dari pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad bervoltan tinggi malam semalam.

Kejadian itu berlaku Kampung Ladang Fermanagh, Taman Teluk Merbau di Sungai Pelek, dekat Sepang.

Lelaki berkenaan cuba terjun daripada menara pencawang setinggi hampir 60 meter kira-kira jam 10.30 malam.

Pencawang itu  terletak berdekatan dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Kampung Ladang Fermanagh, di Sungai Pelek.

Dalam satu kenyataan, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sepang, Azrul Faizal Maariff, berkata, lelaki itu turun sendiri dari menara pencawang selepas dipujuk.

Dia kemudian diserahkan kepada polis. – MalaysiaGazette