Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Jemaah Menteri Mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 14 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Keindahan Kemakmuran Bersama akan menyerlah apabila jurang ekonomi antara kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan dirapatkan dalam konteks ekonomi yang terus berkembang.

Walhasil, memastikan nasib semua rakyat terbela dan tiada yang ketinggalan di dalam arus kemajuan negara, kata Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Wawasan yang merangkumi tempoh 2021-2030 merupakan iltizam untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah ekonomi yang terus berkembang dengan rancak dan mampan.

Matlamat Wawasan ini adalah untuk menyediakan taraf hidup yang makmur kepada semua rakyat menjelang 2030 dan komitmen berkenaan akan menyuburkan perpaduan di kalangan rakyat dan mengukuhkan kestabilan politik.

Semalam, Jemaah Menteri yang bersidang selama tiga jam telah menimbang dan bersetuju menerima Wawasan ini sebagai dasar baharu yang memacu pertumbuhan yang mampan, berteknologi tinggi, inklusif dan menjamin pengagihan yang adil dan saksama bagi merapatkan kesenjangan sosio-ekonomi.

Kerajaan yakin penterjemahan Wawasan Kemakmuran Bersama akan melonjakkan Malaysia sebagai paksi ekonomi serantau.

Menurut kenyataan itu, untuk mencapai matlamat ini, ekonomi Malaysia akan distruktur semula ke arah lebih progresif berpaksikan penggunaan teknologi tinggi, inovasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Malah, tumpuan akan diberikan kepada sumber-sumber pertumbuhan baharu yang merangkumi ekonomi digital, industri aeroangkasa, pertanian pintar dan perkhidmatan sokongan untuk Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).

Pada ketika yang sama, industri-industri sedia ada yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi akan diberi suntikan baharu. – MalaysiaGazette