Saturday, December 14, 2024
Home Politik Bimbang politik perkauman dan ekstremisme, Salleh kembali aktif di laman blog

Bimbang politik perkauman dan ekstremisme, Salleh kembali aktif di laman blog

Salleh Said Keruak

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak kembali bersuara menerusi laman blognya berikutan kebimbangannya terhadap perkembangan politik tanah air yang disifatkannya sebagai menjurus kepada perkauman dan ekstremisme.

Dalam catatan terbaharu bertajuk Demi Perjuangan, Saya Akan Terus Melangkah, Salleh yang tewas di Parlimen Kota Belud dalam pilihan raya umum Mei tahun lalu berkata, hasil pemerhatiannya mendapati nilai kesederhanaan yang menjadi landasan perpaduan nasional sudah mula diketepikan oleh sesetengah pihak.

Katanya, antara sebab beliau meninggalkan UMNO pada Disember tahun lalu adalah untuk memberi tumpuan kepada masa hadapan negeri Sabah.

“Kita berpandangan negeri Sabah harus membina hubungan yang kukuh dengan Kerajaan Persekutuan untuk kekal membangun dan berdaya saing bersama negeri-negeri lain.

“Secara peribadi pula, saya turut mengambil peluang tersebut untuk berehat dari politik berparti.

Namun, katanya, perkembangan mutakhir ini menarik perhatiannya apabila rakyat diapi-apikan dan menjadi mangsa manipulasi pihak-pihak yang berkepentingan politik semata-mata.

“Setiap hari kita dengar berita-berita yang tidak enak didengar. Bara perkauman dan ektremis agama ini jika tidak dikawal, akan membakar kita semua. Perpaduan yang dipupuk sejak turun temurun akan terhapus sekelip mata.

“Bila berbicara tentang perpaduan, selalunya ia hanya berkisar tentang tiga kelompok masyarakat utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India.

“Kadang-kadang kita lupa bahawa Sabah dan Sarawak juga termasuk dalam Malaysia di mana di Sabah sahaja terdapat lebih daripada 30 etnik, manakala di Sarawak pula terdapat 27 etnik. Kita semua adalah rakyat Malaysia tidak kiralah bangsa, kaum, etnik atau suku,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau yang meninggalkan UMNO selepas PRU14 itu mahu mengetengahkan suara dan pandangan melalui blognya untuk berkongsi pelbagai pandangan tanpa mengira batas kaum.

Salleh turut menegaskan pendiriannya kekal sebagai seorang yang moderate, progresif dan mendukung kestabilan, malah beliau percaya majoriti rakyat Malaysia mempunyai pendirian yang sama.

“Hari ini, suara kita tenggelam dalam kancah perkauman dan politik ekstrem. Kita harus bekerjasama, tidak kira bangsa, agama atau latar belakang, dan memulakan langkah untuk menenggelamkan kembali suara-suara ekstrem itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast