Situasi jerebu di Jambi. foto Agensi

JAKARTA 0 Aktivis alam sekitar Indonesia mengkritik pemerintah yang dilihat tidak serius dalam menangani kebakaran, sehingga berlaku jerebu teruk dan menjejaskan keselamatan awam.

Memetik laporan media tempatan, jerebu itu bukan sahaja menyusahkan rakyat tempatan, malah kini merentasi sempadan dan menjejaskan negara jiran.

Ketua Sumber Daya Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (WALHI) Khalisah Khalid mendakwa, jangankan tindakan tegas dilakukan terhadap mereka atau syarikat yang sengaja membakar hutan ketika ini, malah 10 syarikat yang didapati bersalah dalam kebakaran hutan pada 2012 hingga 2015 juga belum dikenakan tindakan.

Direktur Eksekutif WALHI di Jambi, Rudiansyah pula mendakwa pemerintah hanya mengambil tindakan terpilih kepada pelaku pembakaran hutan.

“Lebih 11 ribu hektar kawasan hutan terbakar di Jambi dan tiada apa apa pun tindakan terhadap mana-mana pihak,” katanya.

Presiden Indonesia Joko Widodo dipetik agensi berita Antara, turut melahirkan kekesalannya terhadap pemerintah daerah dalam menangani kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu teruk di provinsi Kalimantan, Riau dan Jambi.

“Pasukan (pemadam api) kita tambahkan. Tetapi sekali lagi, kalau tidak ada dukungan dari pemerintah daerah, ini adalah pekerjaan besar yang sulit diselesaikan.

“Kita memiliki semuanya, tapi tidak ditertibkan secara baik. Kalau infrastruktur ini diaktifkan secara baik, saya yakin, kebakaran hutan akan dapat ditangani,” kata Jokowi.

Menurut laporan Antara, masyarakat juga kesal kerana Gabenor Riau, Syamsuar dan Wali Kota Pekanbaru, Firdaus kini berada di luar negara ketika masalah jerebu kian memburuk.

Sejak Januari lepas, lebih 42,000 hektar hutan dan ladang terbakar di beberapa provinsi di Indonesia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast