Jurgen Klopp

NAPLES – Manchester City dikatakan menjadi sebuah pasukan terbaik dunia biarpun juara Liga Perdana itu masih belum memenangi kejohanan utama di Eropah.

Perkara itu diakui Jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp selepas menolak pandangan ramai apabila meletakkan pasukannya sebagai pasukan pilihan untuk menjulang trofi itu sekali lagi musim ini.

“Kami tidak boleh menjadi pasukan terbaik di Eropah kerana Manchester City adalah pasukan terbaik di dunia, iaitu planet yang sama, saya rasa.

“Kami tak rasa tekanan menjadi juara bertahan, (kami menanginya) sudah lama. Saya tidak pasti (jika pasukan lain akan bermain secara berbeza ketika bertemu kami). Saya tak pernah menang Liga Juara-Juara sebelum ini, saya harap kami bersedia untuk itu,” katanya dalam nada berseloroh dalam satu sidang media hari ini.

Liverpool menamatkan saingan Liga Perdana di tempat kedua pada musim lalu di belakang City yang dibimbing Pep Guardiola tetapi kini berada lima mata di hadapan lawannya selepas lima perlawanan musim ini.

Pemain tengah, Jordan Henderson juga berkata, Liverpool bukanlah pesaing utama yang bakal merebut gelaran Liga Juara-Juara. – MalaysiaGazette