Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris.

KUALA LUMPUR – Laporan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang berada dalam proses akhir untuk menjual pegangannya dalam Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) kepada sebuah syarikat pengurusan lapangan terbang di London iaitu Vinci & Gatwick Airports amat mengejutkan.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, sekiranya benar berlaku, adalah suatu perkara yang amat malang dan menyedihkan bagi rakyat Malaysia.

Ini kerana, jelas beliau, MAHB adalah simbol kejayaan negara dalam industri penerbangan.

“Penjualan pegangan MAHB bermaksud lapangan terbang seperti Kuala Lumpur International Airport (KLIA) secara tidak langsung akan dimiliki oleh syarikat asing dan kita akan kehilangan aset nasional.

“Bukankah ini ibarat suatu penghinaan apabila satu-satunya pintu masuk ke negara kita diuruskan oleh syarikat asing?

“Aspek kedaulatan nasional serta keselamatan juga menjadi taruhan jika benar perkara ini berlaku.

“Terdapat juga kemungkinan untuk berlakunya pengecilan pengurusan jika MAHB diambil alih syarikat asing dan hal ini menyebabkan anak-anak tempatan yang bekerja dengan MAHB diberhentikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Najmil turut mendakwa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah perosak kepada syarikat-syarikat tempatan kerana MAHB adalah syarikat milik kerajaan yang mencatatkan keuntungan tinggi iaitu RM727.30 juta pada Disember 2018 dan mempunyai hasil sebanyak RM4.85 bilion.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu menegaskan, syarikat yang menjadi simbol kepada negara seharusnya dibantu supaya menjadi lebih berdaya saing di arena antarabangsa, bukannya dijual kepada syarikat asing.

“Seluruh rakyat Malaysia amat risau dengan tindakan kerajaan PH yang semakin hari semakin menjahanamkan negara dengan penjualan aset-aset penting milik awam, gagal menangani isu keselamatan, kelembapan ekonomi serta pelbagai lagi yang akan memusnahkan masa depan negara ini.

“Kerajaan PH dan seluruh pimpinannya adalah kegagalan terbesar yang pernah dihadapi rakyat dan negara kerana memilih PH pada PRU lepas tidak ubah seperti menang sorak kampung tergadai,” katanya. – MalaysiaGazette