Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas menubuhkan jawatankuasa khas bertujuan untuk merangka pelan tindakan pelaksanaan Muafakat Nasional yang dimeterai bersama UMNO pada 14 September lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, keputusan penubuhan jawatankuasa khas itu diambil dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersidang pada 15 September lalu di Bintulu, Sarawak.

“Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersidang pada Ahad lalu mengambil langkah awal menubuhkan Jawatankuasa Khas Merangka Plan Tindakan dan “Road Map” ke arah merealisasikan Muafakat Nasional yang dimeterai dengan UMNO.

“Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan ahli-ahli dari kalangan pemimpin tertinggi Pas dan Setiausahanya adalah Setiausaha Agung Pas,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, jawatankuasa berkenaan akan bertanggungjawab merangka Plan Tindakan dan Road Map‟ berdasarkan Piagam Muafakat Nasional dan Memorandum Persefahaman UMNO/Pas yang ditandatangani oleh kedua-dua Presiden parti itu untuk dilaksanakan di semua peringkat parti.

“Segala hasil kajian dan rumusan Jawatankuasa ini akan terlebih dahulu dibawa ke Jawatankuasa Perunding UMNO/Pas untuk diluluskan,” katanya. – MalaysiaGazette