Presiden KKIM, Shanmugam Ramiah.

KUALA LUMPUR – Kongres Keadilan India Malaysia (KKIM) menuntut penjelasan pihak berkuasa mengenai insiden tembak menembak sehingga tiga individu yang didakwa polis sebagai ahi kongsi gelap 08 di Batu Arang, Rawang baru-baru ini.

Presiden KKIM, Shanmugam Ramiah senada dengan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P. Ramasamy yang mahu satu siasatan menyeluruh berhubung insiden kejar mengejar sepanjang tujuh kilometer antara Batu Arang hingga Batu Caves dekat sini berlaku.

Kata Shanmugam, beliau bukan menyangkal kredibliti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tetapi pada masa yang sama seharusnya pihak berkuasa perlu tampil memberikan penjelasan apatah lagi keluarga suspek mempunyai ‘versi’ lain tentang kejadian itu.

“Apa yang membimbangkan, ada pihak mendakwa wujudnya pihak keempat dalam kereta itu iaitu isteri kepada salah seorang suspek mati ditembak mati itu.

“Polis juga perlu menyiasat bagaimana seseorang warganegara United Kingdom yang balik untuk masa singkat dan terlibat dengan aktiviti kongsi gelap dan rompakan pula?

“Apakah sebenar bukti yang menyabitkan mereka yang ditembak ini sebagai kumpulan 08 seperti didakwa itu. Sebenarnya banyak persoalan yang hendak kita tahu,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Polis hari ini mengesahkan dua daripada tiga individu yang ditembak mati dalam aksi tembak menembak di Sabtu lalu merupakan ahli geng kongsi gelap 08.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, dua individu terbabit ialah G. Thavaselvan,31 dan S. Mahendran, 23 manakala seorang lagi yang juga maut dikenali, J.Vijayaratnam, 40 yang merupakan warganegara Sri Lanka.

Terdahulu, tiga penjenayah melakukan kegiatan samun dan pecah rumah pada awal pagi Sabtu lalu akhirnya tumpas selepas kesemua mereka ditembak sepasukan polis di Kilometer 22, Jalan Batu Arang, Rawang Sabtu lalu.

Kesemua suspek yang tidak dikenalpasti identitinya itu dipercayai terlibat dalam sebahagian daripada 60 kes pecah rumah dan samun bersenjata yang dilaporkan di sekitar Selangor sejak Mei lalu.

Sementara itu, keluarga suspek tampil mempersoalkan nasib seorang wanita, iaitu isteri salah seorang si mati yang kini tidak dapat dikesan.

Keluarga berkenaan berkata mereka pelik dengan kenyataan polis bahawa kedua-dua si mati yang merupakan adik-beradik ipar bersama seorang lagi kawan mereka yang turut ditembak mati merupakan suspek kes samun berkumpulan.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia pula dikatakan akan menyiasat kejadian yang sama dan pesuruhjayanya, Jerald Joseph berkata, pihaknya menerima laporan daripada keluarga ketiga-tiga individu yang meminta pihaknya berbuat demikian.

Berdasarkan maklumat pihak keluarga mendakwa seorang lagi individu ditembak cedera di bahagian kaki namun individu itu sempat lari ke hutan.

“Keluarga mendakwa perkara itu dimaklumkan sendiri anggota bertugas di Balai Polis Bandar Country Homes dan jelas bercanggah dengan kenyataan polis sebelum ini,” kata Jerald. –MalaysiaGazette