Jumlah perdagangan Malaysia pada April 2018 meningkat 11.7 peratus tahun ke tahun kepada RM155.42 bilion berbanding penurunan sebanyak 3.5 peratus pada Mac, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking akan mengetuai delegasi Malaysia ke Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) Ke-16 di Nanning dan Malaysia Week 2019 di Shanghai, China dari 19 hingga 22 September 2019.

Penyertaan Malaysia di CAEXPO 2019 adalah penting sempena  Ulang Tahun ke-16 Perkongsian Strategik ASEAN dan China.

CAEXPO menyediakan platform bagi syarikat dari Malaysia
dan ASEAN untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka bertujuan meningkatkan eksport ke negara
China dan rantau ASEAN.

Pada tahun ini, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menerajui penyertaan 167 syarikat Malaysia mewakili pelbagai sektor termasuk produk Makanan dan Minuman (F&B), Kesihatan, Kesejahteraan dan Gaya Hidup serta Perkhidmatan, kata MITI dalam kenyataannya.

Pada 2018, jumlah perdagangan antara Malaysia dengan China adalah sebanyak RM313.81 bilion, peningkatan sebanyak 8.1% berbanding RM290.40 bilion pada tahun 2017.

Jumlah eksport dari Malaysia ke China pula bernilai RM138.88 billion manakala jumlah import direkodkan pada RM174.93 bilion.

China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia bagi 10 tahun berturut-turut sejak tahun 2009.

Menurut MITI, sejak 15 tahun yang lalu, CAEXPO telah menjadi platform utama untuk mempromosikan dan
memudahkan akses Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME) ke pasaran China dan ASEAN dan penting bagi Malaysia untuk meneruskan usaha untuk mempromosikan eksport ke China.

Menteri juga dijadual menghadiri majlis penutup Program Minggu Malaysia 2019 ini yang berlangsung mulai 16 hingga 22 September 2019.

Ia merupakan kempen atas talian anjuran Kumpulan Alibaba dengan kerjasama Kerajaan Malaysia dengan matlamat utama untuk mempromosi serta menggerakkan aktiviti eksport barangan dan jenama Malaysia di pasaran China, menerusi ekosistem Alibaba.

Antara aktiviti-aktiviti promosi utama yang dianjurkan secara bersama oleh Malaysia dan Kumpulan Alibaba di sepanjang kempen ini ialah promosi menerusi portal-portal Alibaba yang berkaitan, pavilion dalam talian khusus untuk Malaysia,
penglibatan Key Opinion Leaders di China untuk mempromosi barangan dan jenama Malaysia dan komunikasi
media secara dalam talian/tanpa talian. – MalaysiaGazette