Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kebimbangan DAP kini semakin terserlah selepas melihat orang Melayu yang banyak membantu kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 lalu tidak lagi merasakan kerajaan mampu mempertahankan nasib mereka dan Islam.

Bahkan, menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Ismail Sabri Yaakob, penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak layak bercakap mengenai perpaduan kerana parti itu sendiri mengamalkan perkauman walaupun selama ini menekankan aspek kepelbagaian dalam piagam mereka.

Malah, katanya, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu pernah dianggap rasis oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika dalam UMNO dahulu.

“Tanggapan Dr. Mahathir terhadap Kit Siang itu tidak pernah berubah dari dahulu sampai sekarang. Itu bukan kenyataan saya, tetapi kenyataan Dr. Mahathir.

“Selama ini yang memainkan isu perkauman adalah DAP. Isu kecil seperti tulisan Jawi pun mereka mainkan dan jadikan isu perkauman. Jadi yang bersifat perkauman selama ini adalah DAP,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahad lalu, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dilaporkan berkata, kerjasama UMNO dan Pas akan memburukkan lagi politik toksik kaum dan agama.

Beliau mengingatkan PH supaya tidak cuba menjadi “lebih Melayu daripada UMNO dan lebih Islam daripada Pas” bagi menghadapi kerjasama rasmi dua parti terbesar orang Melayu itu yang ditandatangani pada 14 September lalu.

Pemimpin veteran DAP itu berkata, PH akan “gagal dan gagal” sekiranya ia cuba berbuat demikian kerana taktik itu akan meminggirkan 5.5 juta penyokong dari pelbagai latar belakang kaum dan agama yang mengundinya dalam pilihan raya umum tahun lepas.

Menurut Ismail Sabri, Penyatuan Ummah atau Muafakat Nasional dibentuk atas dasar mahu memperkukuhkan agama Islam dan orang Melayu yang tertekan serta tercabar dengan tindakan kerajaan PH.

Katanya, muafakat itu juga bukan sahaja menjadi benteng dalam menjaga kebajikan orang Melayu, tetapi kaum lain yang berada dalam negara ini.

“Kit Siang tak usahlah menakut-nakutkan rakyat khususnya kaum bukan Bumiputera untuk melihat Muafakat Nasional sebagai satu ancaman kepada kaum dan agama lain.

“Tiada apa yang perlu ditakutkan. Penyatuan ini juga menjaga kepentingan kaum lain sebab itu kita lihat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Melayu, malah parti politik bukan Melayu pun turut serta menyaksikan acara menandatangani piagam di Himpunan Penyatuan Ummah, PWTC,” katanya. – MalaysiaGazette