Professor Dr. Jomo Kwame Sundaram

KUALA LUMPUR – Perbelanjaan sektor awam yang kurang ketika ekonomi meleset hanya akan menyebabkan senario menjadi lebih buruk, kata pakar ekonomi terkemuka.

Penasihat Kanan Institut Penyelidikan Khazanah, Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram sebaliknya berkata, dasar kitaran fiskal ketika ini mempunyai peranan yang lebih besar untuk memainkan kestabilan ekonomi.

Jelas bekas ahli Majlis Penasihat Kerajaan itu, pilihan dasar monetari adalah terhad dan mencabar serta tidak boleh bergantung kepada dasar itu semata-mata.

“Keadaan mikroekonomi yang tidak baik bukan alasan untuk berjimat. Jangan berjimat tetapi berbelanja.

“Penyatuan fiskal boleh dilaksanakan namun harus ditangguhkan ketika senario itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada Forum Awam anjuran Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengenai Belanjawan 2020 di Universiti Malaya di sini hari ini.

Ahli Panel lain adalah Ahli Parlimen Setiawangsa mewakili Pakatan Harapan, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia, Dr M. Jeyakumar.

Jomo menambah, dana awam boleh dibelanjakan bagi membentuk kualiti pemulihan dalam pertumbuhan ekonomi.

Jelas beliau, dana itu boleh digunakan bagi perlindungan sosial dengan memperluaskan atau meningkatkan bidang kesihatan, kebajikan, pendidikan dan program latihan seperti pemakanan di sekolah.

“Dana juga boleh dibelanjakan dengan meningkatkan program perlindungan dan pemakanan sosial untuk kanak-kanak sekolah secara percuma dan warga tua.

“Pada masa sama, ia juga boleh membiayai perbelanjaan penjagaan kesihatan berikutan pilihan insurans lebih mahal,
meningkatkan keadaan perkhidmatan kesihatan awam serta mempertimbangkan Keluaran Negara Kasar untuk penjagaan kesihatan primer,” katanya. – MalaysiaGazette