Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad bercakap kepada media selepas hadir pada Persidangan Antarabangsa Bandar Raya Mampan Bertaraf Dunia 2019 (WCSC 2019) di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 19 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak pernah memaksa mana-mana pihak, sama ada pemilik mahupun pewaris tanah di Kampung Baru untuk bersetuju dengan tawaran pembelian bagi membangunkan semula kampung Melayu tradisi itu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menegaskan, sehingga kini pihaknya masih melakukan proses rundingan dan tiada keperluan untuk menimbulkan kekecohan semasa sesi ‘townhall’ yang akan berlangsung pada Sabtu ini.

“Kenapa nak kecoh kalau setuju, setuju;  tak setuju, tak setuju. Kenapa anda nak wujudkan kekecohan.

“Saya rasa tiada sebab kenapa nak kecoh, bukan saya nak paksa, kerajaan tidak memaksa mana-mana pihak, kita masih berunding, kalau tak setuju, sila kemukakan cadangan dan pandangan.

“Kalau ada pandangan yang mengatakan Kampung Baru ini tak boleh dibangunkan dan sebagainya, terpulanglah, tapi akhirnya ia adalah pilihan bagi pihak pemilik dan pewaris,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa ke-11 Perbandaran Lestari Kelas Dunia di Hotel Royal Chulan, di sini, hari ini.

Khalid Abdul Samad
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad diiringi Pengerusi Persidangan Antarabangsa Bandar Raya Mampan Bertaraf Dunia 2019 (WCSC 2019), Ra Adrina Muztaza melawat tapak pameran ketika hadir pada Persidangan Antarabangsa Bandar Raya Mampan Bertaraf Dunia 2019 (WCSC 2019) di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 19 SEPTEMBER 2019.

Beliau mengulas ada cubaan pihak tertentu yang akan menimbulkan kekecohan semasa sesi ‘townhall’ pembangunan semula Kampung Baru, Sabtu ini.

Khalid juga menegaskan, beliau yakin pemilik dan pewaris tanah di Kampung tidak mahu ketinggalan daripada pembangunan yang bakal dilakukan kerajaan.

“Saya yakin bahawa pemilik dan pewaris mahu supaya tanah-tanah mereka dibangunkan,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan tidak mahu dipersalahkan dan dilabel dengan pelbagai tohmahan termasuk dianggap anti-Melayu dan mendiskriminasi orang Melayu sekiranya Kampung Baru dibiarkan usang.

“Kalau di negara-negara lain, kalau ada satu kawasan tak dibangunkan, maka penduduk di situ akan mengatakan bahawa mereka ini didiskriminasikan, ini adalah anti-Melayu.

“Tapi yang peliknya saya dapati bahawa mereka yang mendakwa mereka ini sebagai pejuang Melayu mahu orang Melayu kekal dalam keadaan terabai dan tidak dibangunkan.

“Itu satu kepelikkan yang perlu diperjelaskan dan kalau tak setuju, datang kita takkan halang, sila kemukakan pandangan tapi beri pandangan lain juga untuk dibentang dan dipertimbangkan, tak perlu buat kecoh,” katanya lagi. – MalaysiaGazette