SINGAPURA – Harga minyak berada di landasan untuk melonjak lebih daripada 7% minggu ini, kenaikan terbesar dalam beberapa bulan, selepas dagangan awal pada hari Jumaat menyaksikan lanjutan kenaikan disebabkan ketegangan baru di Timur Tengah susulan serangan di hab bekalan minyak mentah utama Arab Saudi minggu lalu.

Minyak mentah Brent naik kira-kira 7.7% minggu ini, kenaikan mingguan terbesar sejak Januari.

Kontrak November bulan depan berada pada AS$ 64.96 setong, meningkat AS$0. 56 sen pada 0212 GMT.

Manakala niaga hadapan West Texas Intermediate (WTI) meningkat AS$0.66 kepada AS$58.79 setong, untuk merekodkan keuntungan 7.1% pada minggu ini – lonjakan mingguan terbesar sejak bulan Jun.

Pengeluaran minyak mentah Arab Saudi jatuh hampir separuh selepas serangan yang melumpuhkan kemudahan pemprosesan minyak utama.

Bagaimanapun, Menteri Tenaga Arab Saudi, Putera Abdulaziz bin Salman memaklumkan bekalan akan pulih kembali pada akhir bulan ini.

Amerika Syarikat dan Arab Saudi terus menyalahkan Iran atas serangan terhadap kemudahan minyak Arab Saudi namun Tehran menafikan sebarang penglibatan.

Sementara itu, di Amerika Syarikat, hujan lebat yang dibawa oleh Ribut Tropika Imelda telah memaksa loji penapisan utama mengurangkan pengeluaran dan menutup saluran paip minyak, terminal dan saluran kapal di Texas. – MalaysiaGazette