Abdul Hamid Bador

GEORGE TOWN – Beberapa lagi kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang akan ditahan bagi membantu siasatan berhubung sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan kepada warga asing.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata beberapa orang pegawai yang dipercayai terlibat dalam sindiket itu telah dikenal pasti dan mereka akan ditahan dalam tangkapan fasa kedua.

“Mereka ini dari sindiket yang sama yang ditangkap lebih awal sebelum ini. Rentetan daripada hasil siasatan itu beberapa orang lagi pegawai telah dikenal pasti dalam tangkapan fasa kedua. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed akan keluarkan kenyataan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Pada 11 Sept lepas, media melaporkan polis telah menahan 20 individu termasuk seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang disyaki terlibat dengan aktiviti pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan secara tidak sah.

Pada hari berikutnya enam lelaki termasuk seorang Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang berumur antara 34 dan 66 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen atas 32 pertuduhan berhubung sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan kepada warga asing.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata satu inkues akan dijalankan bagi menyiasat kematian tiga lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes samun bersenjata, yang maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Kilometer 22, Jalan Rawang menghala Batu Arang dekat Gombak, awal pagi 14 Sept lepas.

Beliau berkata pihaknya tidak akan menyembunyikan apa-apa maklumat dan menyerahkan kepada inkues untuk membuat keputusan.

“Inkues akan dijalankan ke atas kes ini. Ini kerana kita dengar macam-macam di internet yang diviralkan tentang kes ini. Kita akan jalankan inkues ini segera, saya tidak mahu tunggu. Tiada apa yang nak disembunyikan. Biar inkues buat keputusan,” katanya.- BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.