Mohamed Iran Morrif Mohd Shariff (empat dari kanan) bergambar bersama-sama pemenang Kempen Al-Awfar untuk Kategori Cabutan Jutawan & Cabutan Khas di Puchong.

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) telah melahirkan 23 orang jutawan dengan saiz dana berjumlah RM2.45 bilion dengan 771,496 akaun.

Manakala Al-Awfar setakat ini telah mencapai saiz dana bernilai RM197 juta dengan 89,045 akaun.

Saiz dana Al-Awfar Baharu disasarkan meningkat kepada RM800 juta dan 230,000 pelanggan baharu pada tahun ini, kata Mohamed Iran Morrif Mohd Shariff, Ketua Pegawai Operasi Bank Islam Malaysia Berhad.

Al-Awfar Baharu menampilkan penambahbaikan kepada produk Al-Awfar pertama yang telah dilancarkan 10 tahun lalu.

Akaun Al-Awfar adalah akaun pelaburan berisiko rendah yang berdasarkan konsep Mudarabah, yang mana dananya dilaburkan dalam portfolio pembiayaan perumahan dan aset tetap sedia ada bagi memastikan pelaburan yang kukuh.

Ia juga produk pelaburan inovatif dan unik kerana bercirikan akaun simpanan, membolehkan pelanggan membuat pengeluaran tunai pada bila-bila masa.

Akaun ini bukan hanya terbuka kepada pelanggan individu tetapi juga melibatkan penyertaan pelanggan bukan individu seperti entiti perniagaan, persatuan, badan agama, sekolah, institusi pengajian tinggi, kelab dan pertubuhan.

Mohamed Iran berkata demikian semasa majlis penyampaian hadiah Kempen Al-Awfar dalam satu acara yang diadakan khas untuk Kategori Cabutan Jutawan & Cabutan Khas sempena pelancaran akaun pelaburan Al-Awfar Baharu pada bulan April lalu.

Hadiah wang tunai RM1 juta bagi Kategori Cabutan Jutawan dan lima unit kereta yang terdiri daripada sebuah Mercedes C200 Avantgarde dan empat unit Honda Civic 1.5TC-P telah disampaikan kepada pelanggan Al-Awfar bertuah dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Pusat Mercedes-Benz, Kinrara di Puchong, Selangor.

Sempena pelancaran Al-Awfar baharu pada 16 April 2019, akaun ini meningkatkan nilai hadiah daripada RM10 juta kepada lebih RM14 juta. Hadiah-hadiah yang terlibat turut merangkumi kereta, pakej umrah dan percutian, wang tunai dan gajet.

Menurutnya, Bank Islam turut menawarkan ciri-ciri baharu produk perbankan keutamaan atau dikenali sebagai Program Sapphire bagi memenuhi keperluan segmen pelanggan mewahnya.

Bertujuan untuk meneroka potensi pasaran yang besar, program yang ditambah nilai ini menampilkan penambahbaikan mutu perkhidmatan dan penawaran termasuk penyediaan ruang istirahat Premium, jemputan eksklusif ke acara korporat seperti pelancaran produk baharu, tiket sukan percuma, kemudahan prakelulusan Cash Line-i, penyediaan Pegawai Perhubungan Sapphire bagi memudahkan urusan perbankan berkaitan, diskaun-diskaun menarik serta mata ganjaran TruReward bagi perbelanjaan di luar negara.

Mohamed Iran berkata, segmen pelanggan mewah mempunyai potensi pasaran yang cerah dan setakat ini, Bank Islam mempunyai 11,337 pelanggan dalam segmen tersebut. – MalaysiaGazette