Jofri Jaraiee

KUALA LUMPUR – Masyarakat Cina di Sarawak diminta supaya tidak mempercayai dakyah yang disebarkan secara meluas oleh pihak tertentu kononnya Pas tidak mahu kaum itu memerintah negeri berkenaan.

Pesuruhjaya Pas Sarawak, Jofri Jaraiee berkata, apa yang dikatakan oleh presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika mengadakan lawatan ke Bintulu baru-baru ini ialah parti itu tidak mau DAP menguasai kerajaan Sarawak seperti berlaku dengan kerajaan Persekutuan hari ini.

“Kenyataan Abdul Hadi telah disalah tafsirkan sebagai mengatakan bahawa Pas tidak mahu orang Cina memerintah kerajaan di Sarawak. Sebenarnya Pas tidak mahu DAP menguasai kerajaan Sarawak seperti yang berlaku pada kerajaan Persekutuan hari ini.

“DAP adalah parti Cina chauvinis yang memberi tumpuan lebih kepada bangsanya sendiri, manakala kumpulan etnik lain seperti penduduk Islam Melayu dan Bumiputera masih dipinggirkan.

“Justeru, Pas mahu Sarawak terus diterajui oleh penduduk tempatan khususnya yang beragama Islam dan Bumiputera Melayu dan orang asal yang boleh berlaku adil kepada semua kaum tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Baru-baru ini, Abdul Hadi bersama pemimpin Pas termasuk Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mohktar mengunjungi pejabat Ketua Menteri Sarawak atas urusan rasmi.

Pertemuan Dr. Ahmad Samsuri dengan Datuk Abang Johari Tun Openg lebih tertumpu kepada kerjasama antara kerajaan Sarawak dan Terengganu yang mempunyai kepentingan serupa dalam tuntutan royalti minyak dan kerjasama dalam bidang yang boleh dimajukan bersama.

Mengulas lanjut, Jofri berkata, Pas boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak yang bersedia menerima dasar perjuangan parti itu tanpa mengira kerajaan atau mana-mana parti politik dan NGO.

Katanya, mengapa Pas tidak mahu bekerjasama dengan DAP kerana parti itu terbukti tidak setia dalam membentuk hubungan.

“Adalah jelas DAP telah berada dalam Barisan Alternatif sebelum ini. DAP keluar selepas Pas tegas dengan perjuangan Islam.

“Selepas DAP sukar membentuk kerajaan, mereka menyambung semula rundingan dengan Pas dan PKR untuk membentuk Pakatan Rakyat dan sementara Pas tetap teguh dalam perjuangan Islam, DAP masih tidak bersetuju dengan dasar itu.

“Telah terbukti bahawa DAP tidak boleh berada dalam hubungan dengan Pas,” katanya.

Beliau menjelaskan, apabila Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum tahun lalu, DAP sekali lagi mendominasi kerajaan Persekutuan dengan mengambil alih Kementerian Kewangan, manakala kerajaan negeri yang tidak bersekutu dengan kerajaan PH dipinggirkan.

“Seperti peruntukan untuk Sarawak, Terengganu dan Kelantan telah sengaja ditangguhkan sehingga kerajaan Sarawak kata Menteri Kewangan tidak jujur atau kata orang Sarawak pembulak.

“Banyak janji pada pilihan raya lalu tidak dipenuhi seperti memberi 20 peratus royalti minyak kepada Sarawak jika PH memerintah.

“Ini adalah bukti kerajaan didominasi oleh DAP lebih buruk daripada sebelumnya, jadi Pas menggesa semua pihak untuk tidak menyokong DAP dan sekutunya membentuk kerajaan Sarawak kerana ini akan menjadi lebih buruk bagi rakyat Sarawak,” katanya.

Walaupun Pas dianggap sesetengah pihak sebagai parti Islam pelampau, parti itu tidak pelampau kerana ia mempunyai Dewan Himpunan Pendokong Pas (DHPP) yang ahlinya adalah bukan Islam dari pelbagai kaum dan agama.

“Bagaimanapun, terserah kepada rakyat Sarawak untuk menilainya. Tidak kenal maka tidak cinta,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.