Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof melancarkan portal e-dagang MYSINBAD milik Koperasi Tanjong Keramat Kota Kinabalu Berhad di Tamarind Square, Cyberjaya.

KUALA LUMPUR – Sebuah portal e-dagang khusus untuk koperasi yang pertama di negara ini dilancarkan sempena perasmian Countdown Hala Tuju Koperasi Selepas 100 Tahun, hari
ini.

MYSINBAD merupakan portal e-dagang dan aplikasi pintar yang dibangunkan Koperasi Tanjong Keramat Kota Kinabalu Berhad dan dikawal selia Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Pelancaran portal itu disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof mewakili Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Tamarind Square, Cyberjaya.

Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Tanjong Keramat Kota Kinabalu Berhad, Suli Koid berkata, pihaknya mengambil langkah membangunkan portal MYSINBAD ini sebagai menyambut seruan Suruhanjaya Koperasi Malaysia untuk membangunkan stor digital koperasi.

Katanya, ia turut menerima sokongan teknikal pintar daripada syarikat pembangun portal dan aplikasi, One Link Card Holding Berhad serta dikawal selia oleh Suruhanjaya Koperasi
Malaysia (SKM).

“Portal ini, dari koperasi untuk koperasi, adalah percuma khusus bagi koperasi dalam memasarkan produk mereka sekaligus dapat memanfaatkan lebih 6.5 juta anggota koperasi selain pengguna lain mendapatkan barangan keperluan tanpa melalui orang
tengah.

“Kewujudan kemudahan ini sekaligus dapat mengurangkan kos sara hidup sejajar dengan hasrat kerajaan terutama dalam membantu golongan B40,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ujarnya, terdapat enam kategori bisnes koperasi iaitu perkhidmatan kewangan; pemborongan dan peruncitan; pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan; pertanian dan industri asas tani; perladangan dan pembangunan hartanah.

Suli berkata, enam kategori bisnes koperasi adalah asas utama keperluan di negara ini dan MYSINBAD akan menjadi platform penjualan runcit terus kepada pengguna.

“Harga yang ditawarkan berkisar pada 10 hingga 25 peratus lebih rendah daripada harga di pasaran memandangkan ia diperoleh terus daripada koperasi tanpa membabitkan orang tengah.

“Usaha ini adalah manifestasi kepada perancangan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang bakal menyambut ulangtahun 100 tahun pada 2022 ke arah digitalisasi koperasi dan keluar dari kepompong tradisional koperasi atau dari desa ke alam maya,” katanya.

MYSINBAD akan menjadikan Tamarind Square di bandar pintar Cyberjaya sebagai ibu pejabat sejajar dengan pengisytiharan pusat komersil itu sebagai Bandar Koop atau Coop City oleh Perdana Menteri.

“Pemahaman tradisional terhadap koperasi adalah peminjam wang walhal banyak koperasi yang mengusahakan pelbagai bisnes dan perkhidmatan dan melalui pengwujudan MYSINBAD akan dapat mempromosikan penawaran perkhidmatan dan bisnes mereka.

“Manakala dengan jumlah lebih 14,000 koperasi di seluruh negara, kita merencanakan ia akan dapat mengurangkan kos logistik apabila kita dapat berkerjasama dengan mereka untuk mewujudkan hub mini logistik di hampir setiap ceruk negara ini,” jelasnya.

Suli berkata, selain promosi, MYSINBAD turut mewujudkan pelbagai pekerjaan bagi anggota koperasi antaranya pembungkusan, percetakan, dan penghantaran.

Selain itu, MYSINBAD yang menggunakan dwi bahasa akan dapat digunakan koperasi untuk menembusi pasaran global dengan perancangan untuk mengadakan kerjasama dengan gerakan koperasi di luar negara. – MalaysiaGazette