Mike Pompeo. foto Agensi

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) mahu mengelakkan perang dengan Iran dan pertambahan tentera di rantau Teluk bertujuan pencegahan dan pertahanan.

Namun, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo yakin Presiden Donald Trump akan mengambil tindakan sekiranya pencegahan tersebut gagal dan perkara ini difahami Iran.

“Kami memang mengelakkan peperangan dan kami menambah tentera di rantau untuk pencegahan dan pertahanan,” katanya.

Pompeo berkata, Washington telah mengambil pendekatan untuk menghalang Iran tetapi tindakan akan diambil jika Tehran gagal mengubah tingkah lakunya.

“Kalau tindakan pencegahan gagal, saya yakin Trump akan melakukan tindakan yang perlu,” ujar beliau.

Ketegangan antara Washington dan Tehran semakin memuncak selepas serangan di kemudahan minyak Arab Saudi yang menjejaskan separuh daripada pengeluaran pengeksport terbesar dunia itu.

AS dan Arab Saudi menuduh Iran berada di sebalik serangan itu meskipun pemberontak Houthi mengaku bertanggungjawab.

Susulan serangan itu, AS telah mengenakan lebih banyak sekatan ke atas Iran dengan menghukum Bank Pusat Iran sementara Pentagon akan menghantar tenteranya bagi memperkukuhkan pertahanan udara dan peluru berpandu Arab Saudi. – MalaysiaGazette