Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (tengah) menyaksikan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Naib Canselor UPM, Prof. Datin Dr. Aini Ideris (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Syed Hamadah Othman (dua kanan) pada Majlis Perasmian Kompleks Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MYyAgeing) di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang. foto FAREEZ FADZIL, 23 SEPTEMBER 2019

SERDANG – Cadangan perundangan melindungi hak warga emas dalam isu pengabaian dan penderaan akan dibentangkan di Parlimen pada awal tahun 2021.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia berikutan terdapat banyak kes pengabaian dan penderaan berlaku terhadap golongan itu.

“Kemungkinan besar banyak lagi kes-kes yang berlaku tetapi tidak dilaporkan,” katanya selepas merasmikan Kompleks Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UPM, Prof Dr. Aini Ideris.

Wan Azizah menambah, Universiti Malaya telah dilantik oleh Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk melaksanakan kajian tersebut dalam tempoh 15 bulan.

“KPWKM juga sedang menjalankan kajian diagnostik dan pembentukan model penjagaan jangka panjang warga emas yang mampan dan bersepadu.

“Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah dilantik menjalankan kajian tersebut selama 18 bulan dan dijangka berakhir pada November 2020.

“Antara hasil kajian adalah model jangkamasa yang panjang beserta pelan tindakan perlaksanaan, keperluan modal insan, modal pembiayaan yang mampan dan cadangan lokasi bagi perlaksanaan projek rintis serta model penjagaan masa yang panjang,” katanya.

Sementara itu, Azizah berkata, MyAgeing bakal menjadi pusat latihan penjagaan warga emas bertauliah pertama di negara ini menjelang akhir tahun 2020.

Menurutnya, MyAgeing menawarkan latihan berasas Bahan Pembelajaran Bertulis adalah mengikut Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS).

“Kepakaran dan pengalaman MyAgeing dalam aspek penuaan penduduk seperti penyelidikan, pengubalan dasar dan perancangan program telah dikongsikan dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semasa merangka Pelan Tindakan Warga Emas Serantau Bagi Implimentasi Deklarasi Kuala Lumpur Berkaitan Penuaan,” katanya. – MalaysiaGazette