Syed Zaid Albar

KUALA LUMPUR – Pengawal selia pasaran modal perlu meningkatkan pendidikan pelabur mereka untuk memacu literasi kewangan dan penyertaan bermaklumat dalam pasaran modal.

Ini kerana, walaupun pertumbuhan ekonomi yang pesat, jurang yang ketara kekal antara pasaran pesat membangun dan ekonomi maju.

Bercakap semasa Persidangan Pasaran Pertumbuhan dan Pesat Membangun (GEM) IOSCO di St Petersburg, Rusia, baru-baru ini, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Syed Zaid Albar berkata, Keluaran Dalam Negara Kasari nominal per kapita dalam ekonomi maju adalah hampir sembilan kali lebih tinggi daripada ekonomi membangun.

Bagi pasaran pesat membangun untuk mencapai tahap pendapatan seperti dalam ekonomi maju, isi rumah harus mengambil bahagian dalam saluran penciptaan kekayaan seperti pasaran modal.

“Pendidikan pelabur yang berkesan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai peluang pelaburan yang ada dan melengkapkan para pelabur dengan pengetahuan dan instrumen yang sewajarnya untuk mengambil bahagian dengan
yakin dan bermaklumat.

“Dengan kata lain, pendidikan pelabur dalam pasaran pesat membangun bukan sahaja bertindak sebagai perlindungan pelabur, tetapi juga sebagai alat untuk menarik peserta pasaran,” kata Syed Zaid selaku Naib Pengerusi Jawatankuasa
GEM, jawatankuasa terbesar dalam Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO), yang mewakili hampir 80 peratus keanggotaan IOSCO, termasuk 11 anggota G20.

Syed Zaid juga berkongsi Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan bagi Malaysia, rangka tindakan lima tahun yang menyeluruh untuk meningkatkan tahap celik kewangan dan kesejahteraan kewangan keseluruhan rakyat Malaysia.

Strategi Kebangsaan ini juga mengiktiraf bahawa proses pendigitan kini sedang merangka semula strategi ekonomi, pasaran dan pengawalseliaan, dan meningkatkan lagi literasi kewangan.

“SC telah menerapkan inisiatif pendigitalan agar pasaran modal lebih mudah diakses dan inklusif untuk rakyat Malaysia.

“Teknologi kewangan telah membawa kepada kemunculan perkhidmatan kewangan alternatif termasuk penasihat robo, pendanaan ekuiti ramai dan pembiayaan antara rakan setara, yang telah mengurangkan tempoh urus niaga dan kos pelaburan, ujarnya.

Bagi memastikan para pelabur mengetahui risiko yang berkaitan, termasuk risiko siber, SC juga menyesuaikan usaha pendidikan pelabur agar sejajar dengan trend digital yang baru muncul.

Tambah beliau, SC telah mempelbagaikan inisiatif capaian pelabur dan saluran komunikasinya, termasuk media digital dan sosial untuk memperluas capaian serta menyampaikan mesej kepada sasaran audien yang tepat.

Inisiatif pendidikan dan pembabitan pelabur SC dijalankan di bawah program “InvestSmart dan acara tahunan utama SC, InvestSmart Fest, menambah pengetahuan mengenai produk dan perkhidmatan pasaran modal, di samping meningkatkan
kesedaran orang ramai terhadap skim penipuan. – MalaysiaGazette