Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bersama Naib Presiden Eksekutif PNB Real Estate, Rizal Rickman Ramli (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, Datuk Tengku Ab Aziz Tengku Mahmud (dua kanan) melihat replika projek Merdeka 118 pada Majlis Pelancaran Galeri Merdeka 118 di Kenanga International Building, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 24 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR- Permodalan Nasional Bhd. (PNB) akan menggunakan cara inovatif bagi menarik penyewa untuk menyewa di menara ikonik miliknya, Merdeka 118.

Ini bagi memastikan Merdeka 118 tidak terkena tempias daripada masalah lebihan bekalan dalam sektor hartanah terutama ruang pejabat dan komersial apabila bangunan tersebut siap pada tahun 2021.

Menurut Pengerusi PNB, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, mereka mahu menjadikan Merdeka 118 berbeza dari mana-mana gedung beli-belah mahupun menara pejabat yang telah sedia ada di negara ini.

Menara 118 tingkat dengan ketinggian 635 meter itu merangkumi 1.65 juta kaki persegi ruang pejabat Gred A untuk disewa manakala anjung tinjau PNB akan menjadi anjung tinjau tertinggi di Asia Tenggara dan kira-kira sejuta kaki persegi kawasan membeli-belah untuk disewa dan tiga menara kediaman premium.

Tidak mahu mendedahkan butiran terperinci mengenai perancangan PNB untuk memastikan Merdeka 118 menerima nasib yang sama dengan bangunan-bangunan lain yang tidak mendapat sambutan di sekitar Lembah Kelang, beliau berkata, ianya akan diumumkan apabila semuanya telah siap kelak.

“Sejumlah 17 tingkat ruang pejabat di Merdeka 118 akan diduduki oleh PNB sendiri.

“Ini adalah rahsia perniagaan tetapi apa yang boleh kami katakan, kami mahu menjadikan Merdeka 118 berbeza daripada yang lain,” katanya semasa sidang selepas merasmikan galeri Merdeka 118 di sini hari ini.

Galeri dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi sehingga 6 petang bagi memudahkan orang ramai dan pihak yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai ruang pejabat Merdeka 118.

Dalam pada itu, menurut Naib Presiden Eksekutif, Harta/Hartanah PNB, Rizal Rickman Ramli, kerja-kerja pembinaan yang telah dimulakan sejak 2016 itu kini sudah 38 peratus siap dengan ketinggian 78 tingkat.

Setakat ini, kos pembinaan masih tidak melebihi peruntukan awal iaitu RM7 bilion termasuk RM2 bilion bagi kerja-kerja infrastruktur.-MalaysiaGazette