KUALA LUMPUR – Seramai 47 orang pelajar Malaysia yang dibawa pulang dari Provinsi Riau selamat tiba di Malaysia melalui penerbangan dari Pekanbaru ke Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur 2 (klia2) tengahari tadi.

Dalam satu kenyataan Kementerian Luar memaklumkan, kumpulan kedua pelajar Malaysia seramai 31 orang pula dijangka tiba pada pukul 6.10 petang.

Kata kenyataan itu, ketibaan pelajar-pelajar berkenaan disambut Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya.

Sementara itu, Kementerian Luar Negeri bersama dengan kementerian dan agensi berkaitan sedang menguruskan pemindahan 35 orang pelajar dari Pekanbaru ke Jakarta untuk ditempatkan sementara di Malaysia Hall, Jakarta.

Ujarnya, pemindahan pelajar tersebut dibantu oleh perwakilan-perwakilan diplomatik Malaysia di Indonesia iaitu Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan Konsulat Malaysia di Pekanbaru bersama wakil-wakil agensi di kedua-dua perwakilan tersebut.

“Mengikut perancangan pemindahan pelajar yang ditetapkan, setakat ini seramai 113 pelajar dapat dipindahkan dari Provinsi Riau.

“Kerajaan Malaysia telah membuat keputusan untuk melaksanakan proses evakuasi pelajar Malaysia dari kawasan-kawasan yang terjejas teruk ekoran bencana jerebu di Provinsi Riau dan Jambi, Indonesia,” kata kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette