Bursa Malaysia dibuka dengan kecenderungan negatif hari ini, berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) dan harga minyak mentah yang rendah terus mempengaruhi sentimen pasaran.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka tinggi disokong oleh sokongan institusi dalam saham wajaran tinggi terpilih.

Pada 9.06 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.12 mata kepada 1,589.70 daripada 1,589.58 semalam.

Indeks dibuka rendah 0.10 mata kepada 1,589.48.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 129 berbanding 68, manakala 143 kaunter tidak berubah, 1,661 tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 91.65 juta saham bernilai RM29.31 juta.

Malacca Securities dalam nota ekuitinya hari ini berkata kecenderungan jualan terus menyebabkan saham rendah berikutan kekurangan petunjuk dan belian yang menarik.

“Kami menyaksikan trend tidak menentu dalam masa terdekat berikutan tiada perubahan kepada hala tuju pasaran dalam tempoh tersebut.

“Bagaimanapun, kami turut berpendapat FBM KLCI akan mendapat penangguhan jangka pendek berikutan sentimen pasaran global yang positif boleh mendorong aktiviti belian saham semasa harga rendah dan memberi sedikit sokongan,” katanya.

Pelabur turut menunggu keputusan FTSE Russel mengenai sama ada mengecualikan bon kerajaan Malaysia daripada Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI) hari ini.

Daripada saham wajaran tinggi, Maybank dan Petronas Chemical, masing-masing naik dua sen kepada RM8.64 dan RM7.54, Axiata meningkat satu sen kepada RM4.28 dan MISC menokok tiga sen kepada RM7.75.

Bagi saham aktif, MTAG menambah dua sen kepada 46 sen, iDimension dan Daya Materials, masing-masing naik setengah sen kepada tiga sen dan satu sen, manakala AirAsiaX dan Ecovest, masing-masing tidak berubah pada 16.5 sen dan 78.5 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 1.21 mata kepada 11,241.02, Indeks FBMT 100 menambah 0.17 mata kepada 11,075.17 manakala Indeks FBM Emas Shariah susut 0.20 mata kepada 11,786.60.

FBM 70 meningkat 7.80 mata kepada 13,978.29 dan FBM Ace naik 20.72 mata kepada 4,559.92.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 0.97 mata kepada 6,749.99, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 1.01 mata kepada 15,362.42 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.27 mata kepada 153.59.

— BERNAMA