KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berpendapat skuadnya sudah berada sebelah kaki ke separuh akhir Piala Malaysia biarpun sedar lawan mereka memerlukan dua jaringan di laman lawan tanpa balas untuk mara.

Beliau jelas memuji karakter pemain kerana mampu bangkit kerana ia bukan sesuatu yang mudah memandangkan lawan dilihat berjaya tampilkan corak bertahan yang baik sepanjang permainan selain meleburkan rekod tanpa kalah PKNP selepas sembilan perlawanan di tempat sendiri.

“Bukan saya yang menjadi rahsia kebangkitan tetapi soalnya semua pemain dan bagaimana mereka lakukannya atas padang kerana bukan satu tugas mudah ekoran PKNP ada kekuatan tersendiri pada aspek pertahanan.

“Namun selagi wisel belum tamat, perlawanan ini masih terbuka dan jangan fikirkan kerana kami bermain di laman sendiri selepas ini, kami sudah hampir pasti layak kerana lihat sahaja pasukan hebat seperti PSG, Barcelona pernah tersingkir walaupun menang selesa pada aksi pertama dan kami perlu berwaspada dalam apa jua situasi.

“Dalam masa sama, saya juga ingin memuji kualiti saliran air padang di Manjung yang berada di tahap begitu membanggakan kerana mampu pulih dengan cepat biarpun hujan lebat pada lewat petang.

“Saya sama tidak sangka kualiti padang mampu kekal berada di terbaik dan terima kasih juga kepada petugas yang bertungkus lumus memastikan perlawanan ini dapat berjalan seperti dirancang, “ katanya.

Dalam perlawanan suku akhir pertama itu, PKNP menjaringkan gol pembukaan pada minit 37 namun Kedah membalas pada separuh masa kedua menerusi jaringan penyamaan Fernando Rodriguez pada minit 49 dan gol kemenangan disumbangkan David Rowley, pada minit 73. – MalaysiaGazette