Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr Syed Husin Ali bercakap kepada media selepas Majlis Memperingati Dr. Burhanuddin Al-Helmy di Auditorium Fakulti Ekonomi Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 28 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Perjuangan Pas sudah tidak sama seperti perjuangan bekas Presidennya, Dr. Burhanuddin Al-Helmy.

Rakan seperjuangan bekas Presiden Pas, Dr Syed Husin Syed Ali mendakwa parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang cuma mengamalkan pegangan Islam sempit, malah tidak memperjuangkan prinsip nasionalis.

“Perjuangan Pas sekarang dan dulu zaman Dr Burhanudin lain, masa dia ertinya ada progresif, ada sifat nasionalisme yang agresif dan mengiktiraf kedudukan keadilan sosial bagi golongan lain, agama lain, kaum lain dan sebagainya.

“Sekarang berbeza sama sekali, Pas sifat nasionalisnya kurang, sifat agamanya terlalu sempit, sifat anti kepada golongan bukan islam, bukan melayu kuat,” katanya ketika menjadi moderator Majlis Memperingati 50 tahun Dr. Burhanuddin Al-Helmy di Auditorium Fakulti Ekonomi, Universiti Malaya.

Ditanya samada perjuangan Muafakat Nasional yang dipamerkan Pas-UMNO, Dr Syed Husin yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR berkata, langkah baharu kedua-dua parti itu dalam politik hanya menguatkan Melayu dan tidak kepada kemajmukan rakyat pelbagai bangsa di negara ini.

“Dia kuatkan lagi sifat kemelayuannya dan agamanya,” katanya lagi.

Untuk rekod, Dr. Burhanuddin Al-Helmy adalah Yang Dipertua Agung Pas mulai dari tarikh Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kali Ke-5 pada 23, 24 dan 25 Disember 1956.

Beliau tidak pernah meletakkan jawatan apa lagi keluar dari Pas walaupun selepas beliau ditahan di bawah ISA pada 28 Januari 1965 hinggalah beliau meninggal dunia pada 25 Oktober 1969. -MalaysiaGazette