KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) tidak wajar menamatkan operasi Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Muadzam Shah kerana ia merupakan tanggungjawab sosial mereka dalam aspek pendidikan penduduk Pahang.

Selain itu, ia juga memberi peluang pekerjaan yang dapat membantu ekonomi penduduk.

Justeru Pakatan Harapan (PH) Pahang membantah keputusan menamatkan operasi kampus itu.

Menurut Pengerusi PH Rompin, Mohd. Fadzli Mohd Ramly, UNITENn perlu sedar sumbangan yang diberikan pihaknya sejak ditubuhkan pada tahun 2001.

“PH berpegang teguh bahawa UNITEN kampus Muadzam Shah ini mestilah diteruskan kerana ianya adalah tanggungjawab sosial Tenaga Nasional Berhad dalam bidang pendidikan dan membantu menaikkan ekonomi kepada masyarakat setempat dan juga negeri Pahang.

“PH menegaskan bahawa penutupan UNITEN oleh pihak pentadbiran adalah tidak wajar sama sekali dan merugikan penduduk Rompin keseluruhannya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Untuk rkeod, 28 September yang lalu, Pejabat Naib Canselor UNITEN dalam satu kenyataan mengesahkan akan melaksanakan Operasi Kampus Berpusat menerusi penggabungan Kampus Sultan Haji Ahmad Shah (KSHAS) di Muadzam Shah, Rompin dengan Kampus Putrajaya tahun depan.

Pengumuman ini turut dibantah oleh Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP)yang berpendirian tindakan itu akan mengganggu pembangunan negeri yang ingin menjadikan bandar Muadzam Shah sebagai hab pendidikan Pahang Tenggara.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast