Ibu Pejabat PNB di Jalan Tun Razak

KUALA LUMPUR – Hilton, syarikat hospitaliti utama global, memeterai perjanjian pengurusan dengan Permodalan Nasional Bhd (PNB) untuk membuka hotel mewah Conrad Kuala Lumpur, di sini.

Pembinaan hotel baharu dengan 544 bilik itu dijangka siap 2021, dan ia akan menjadi pelancaran pertama jenama mewah Conrad Hotels & Resorts, Hilton di negara ini.

Conrad Kuala Lumpur akan menjadi sebahagian daripada Hilton Honors, program kesetiaan pelanggan yang memenangi anugerah bagi 17 jenama hotel berbeza Hilton.

“Kami teruja untuk terus mengembangkan kedudukan dan portfolio jenama kami di seluruh negara dengan bekerjasama bersama rakan kongsi yang sesuai pada peluang yang tepat.

“PNB adalah sebuah institusi pelaburan utama di Malaysia dan kami benar-benar berbangga dapat bekerjasama dengan mereka untuk memperkenalkan jenama mewah kami Conrad kepada pasaran yang sedang berkembang,” kata Naib Presiden Kanan Hilton (pembangunan, Asia & Australasia) Guy Phillips, dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Harta/Hartanah PNB, Rizal Ramli berkata kerjasama dengan Hilton itu merupakan sebahagian daripada inisiatif pengukuhan aset aktif PNB untuk mengekalkan pulangan daripada pelaburan harta tanah domestik.

“Conrad Kuala Lumpur adalah tambahan yang dialu-alukan kepada portfolio harta tanah kami yang kami percaya akan dapat menyumbang mengukuhkan daya tarikan daerah perniagaan pusat bandar,” katanya.

Di Malaysia, Hilton ketika ini mengoperasikan 11 hartanah bagi tiga jenama utama — Hilton Hotels & Resorts, DoubleTree by Hilton dan Hilton Garden Inn.

Bagi tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, syarikat itu menyasar untuk membuka sembilan hotel, termasuk lima di bawah jenama DoubleTree by Hilton serta memperkenalkan jenama gaya hidup Canopy by Hilton. – MalaysiaGazette