Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Malaysia mengekalkan kerusinya di Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), di bawah kategori III, selepas dipilih semula untuk penggal 2019-2022.

Pemilihan itu adalah untuk penggal kelima berturut-turut sejak 2007.

Dalam pemilihan itu, Malaysia menerima 143 undi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia adalah undi tertinggi yang pernah diterima oleh Malaysia dan merupakan pencapaian terbaik sejak negara sejak menjadi Ahli Majlis ICAO.

Malaysia akan menyertai beberapa negara lain dalam kategori ketiga untuk mewakili rantau Asia Pasifik.

Negara-negara lain ialah Korea Selatan, Costa Rica, Cote d’Ivoire, Republik Dominika, Equatorial Guinea, Greece, Paraguay, Peru, Republik Korea, Sudan, Tunisia, Emiriah Arab Bersatu dan Zambia, kata Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan di sini.

Pemilihan itu dibuat pada 1 Oktober di Perhimpunan Agung ICAO ke-40, yang diadakan dari 24 September hingga 4 Oktober di Ibu Pejabat ICAO, Montreal, Kanada. – MalaysiaGazette