Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Pemilihan hari mengundi pada 16 November 2019 bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai didakwa satu sabotaj kepada UMNO.

Ini kerana, Perhimpunan Agung UMNO telah diumumkan terlebih awal, tetapi tarikh PRK pula ditetapkan sama dengan Perhimpunan Agung UMNO.

Naib Presiden UMNO berkata, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua kepimpinan UMNO dari seluruh negara akan berada di PWTC seawal 12 November 2019 bagi mewakili bahagian masing-masing.

Pastinya kepimpinan UMNO Bahagian Tanjung Piai dan UMNO Johor juga akan berada di PWTC.

Ini bermakna semua kepimpinan UMNO tidak boleh berada di Tanjung Piai untuk menumpukan perhatian kepada PRK, sekali gus menjejaskan kesiapsiagaan dan gerak jentera UMNO dalam PRK tersebut.

“Apakah tarikh yang sama tersebut merupakan kebetulan atau disengajakan?!,” soal beliau yang juga Ketua Pembangkang.

Ismail Sabri tidak tidak menafikan SPR tertakluk kepada Akta Pilihan Raya dan perlu mengadakan pilihan raya dalam masa 60 hari dari tarikh kerusi itu dikosongkan.

Namun kebetulan tersebut seolah-olah dirancang walaupun SPR merupakan badan bebas dan boleh menetapkan tarikh pilihan raya tanpa mengira kepentingan mana-mana parti politik.

Tegasnya, SPR seharusnya mengelak daripada persepsi tentang kecondongan partisan politik dalam badan tersebut.

“Bagaimana SPR boleh meyakinkan rakyat tentang kemampuan mereka menjalankan pilihan raya secara bebas dan bersih sedangkan penetapan tarikh pilihan raya pun dilihat tidak bersih dan memihak?,” tanyanya lagi sambil menaruh harapan SPR terus kekal sebagai badan bebas dan tidak terlibat di dalam menyokong mana-mana parti politik. – MalaysiaGazette