Antara gambar terakhir Mahatma Gandhi.

NEW DELHI – Abu mayat Mahatma Gandhi yang disimpan di sebuah memorial sejak tahun 1948 telah dicuri pada ulang tahunnya ke-150 tahun.

Pencuri juga menuliskan “pengkhianat” dengan menggunakan cat hijau di seluruh gambar pemimpin kemerdekaan India itu.

Polis di Rewa mengesahkan mereka sedang menyiasat kecurian itu sambil mendakwa kejadian itu boleh “memudaratkan integrasi nasional” dan berpotensi menjejaskan keamanan.

Mangaldeep Tiwari, penjaga memorial Bapu Bhawan, di mana abu itu disimpan berkata, kecurian itu “memalukan”.

“Saya membuka pagar di Bhawal awal pagi ini kerana ulang tahun Gandhi. Semasa saya kembali kira-kira jam 23.00 (17.30 GMT), saya dapati abunya hilang dan gambarnya dirosakkan,” katanya kepada The Wire.

Polis bertindak selepas pemimpin parti Kongres, Gurmeet Singh membuat aduan.

“Kegilaan ini mesti dihentikan,” kata Singh kepada The Wire sambil memaklumkan telah meminta polis Rewa memeriksa kamera litar tertutup yang dipasang di dalam Bapu Bhawan.

Gandhi pernah mengetuai pergerakan tanpa kekerasan terhadap pemerintahan kolonial British di India, sekali gus memberi inspirasi kepada orang ramai di seluruh dunia.

Kebanyakan orang India masih menghormati beliau sebagai “bapa kemerdekaan”.

Namun, kaum Hindu di India menuduh Gandhi telah mengkhianati Hindu dengan terlalu pro-Muslim.

Selepas kematiannya, abunya disebar di sungai, mengikut kepercayaan Hindu.

Walau bagaimanapun, kerana kemasyhurannya, sebahagian abunya dihantar ke seluruh negara untuk peringatan termasuk di di Bapu Bhawan. – MalaysiaGazette