Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan partinya tidak menerima sebarang jemputan untuk menghadiri ke Kongres Maruah Melayu di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam, Ahad ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan perkara itu meskipun masih tiga hari berbaki sebelum perhimpunan orang Melayu itu diadakan.

“Setakat ini, kakitangan pejabat saya (ibu pejabat Keadilan) tak terima apa-apa, saya di kementerian juga tak terima apa-apa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Merasmikan Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia anjuran Shopee hari ini.

Terdahulu, mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO hari ini memutuskan untuk menghantar setiausaha agungnya, Tan Sri Annuar Musa bagi menghadiri Kongres Maruah Melayu itu.

Sebelum ini, mesyuarat Jawatankuasa Harian Parti Islam SeMalaysia (Pas) Pusat, Selasa lalu bersetuju untuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk hadir ke perhimpunan Melayu itu.

Dalam pada itu, ketika ditanya tentang khabar angin mengatakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan dijemput dalam perhimpunan itu, Saifuddin bagaimana tidak mendapat maklumat mengenainya.

“Saya tiada maklumat. Semalam saya dengan Kak Wan (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail), beliau tak kata apa-apa.

“Pagi tadi saya sarapan dengan Datuk Seri Anwar pun tiada apa-apa,” katanya.

Beliau berkata lagi, sekiranya parti itu menerima jemputan berkenaan dalam masa terdekat, pihaknya akan membawanya ke dalam mesyuarat parti sebelum membuat keputusan.

“Biasanya kita akan buat perbincangan dulu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette