Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda (tengah) bercakap pada sidang media mengenai gabungan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Wisma CUEPACS, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 04 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda menyifatkan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sebagai ‘pengampu’ yang takut hilang jawatan.

Beliau berkata, pihaknya kesal dengan kenyataan yang dibuat oleh pucuk pimpinan kedua-dua universiti berkenaan kerana telah membuat keputusan sangat cepat.

Katanya, kedua-dua Naib Canselor itu sepatutnya mengambilkira sensitiviti mereka yang terlibat dengan universiti-universiti berkenaan termasuk pelajar.

“VC (Vice Canselor) ‘mengampu’ takut hilang jawatan. Kalau cakap tidak setuju dia kena buang, hilang jawatan.

“Kita kesal pucuk pimpinan ini memberi kenyataan sebegitu cepat tanpa mengambil kira sensitiviti mereka yang terlibat dengan universiti-universiti ini.

“Kita tahu ada universiti di England yang dicantumkan, itu lain caranya. Kaedah perbandingan itu tidak tepat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum ini, kedua-dua Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar, serta UniSZA, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan memaklumkan bahawa universiti bersetuju secara prinsip terhadap penggabungan dua universiti itu menggunakan Konsep Gabungan Sepenuhnya.

Dalam satu kenyataan bersama kedua-dua mereka dilaporkan berkata, UMT dan UniSZA akan mengemukakan cadangan pelaksanaan penggabungan kepada Kementerian Pendidikan, bermula dengan bengkel anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) yang diadakan untuk pertimbangan selanjutnya.

Malah, Nor Aeini dilapor turut memberitahu, universiti itu sedang dan akan terus berusaha mendapatkan maklum balas daripada semua pemegang taruh seperti pengurusan tertinggi universiti, ahli senat, warga akademik dan perkhidmatan sokongan, pelajar, alumni, komuniti setempat serta pihak berkepentingan yang lain.

Kabinet pada 4 September lalu dilaporkan bersetuju pada dasarnya terhadap langkah penggabungan itu yang akan mengukuhkan keupayaan kedua-dua universiti sejajar dengan 10 lonjakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi). – MalaysiaGazette